OLEH: MAHMUD JUMAAT
Sah! Ketiga-tiga penyampai radio Era; Pak Azad, Nabil dan Radin telah difitnah dan dikhianat! Siasat siapakah pengkhianat yang menyuntung video lima saat sehingga wujudnya ketegangan antara kita semua?
Saya telah berjumpa dengan Pak Azad dan beliau telah memberi penjelasan kepada saya berkenaan dengan hal sebenar yang belaku dalam konti radio ERA.
Pertama apa yang disangkakan sebelum ini benar-benar berlaku. Sila rujuk kembali kepada klip yang dimainkan oleh RSN Rayer di Parlimen dan majoriti komentar pempengaruh India di Tiktok.
Sekiranya kita teliti, video tersebut telah disunting hanya setakat 5 saat ketika disebut ‘wei-wei’ sahaja.
Kedua, jelas ada pihak yang menjadi batu api dengan sengaja hanya menyunting bahagian yang menyebut seolah-olah ‘wei-wei’ sahaja. Apakah RSN Rayer mendapat klip penuh video ini? Sekiranya benar, mengapa hanya bahagian klip ini sahaja dimainkan berulang kali di parlimen?
Ketiga, sila semak balik, hanya bahagian disunting lima saat ini sahaja yang dikongsikan dan dimainkan di media sosial untuk menyemarakkan kemarahan kaum India sehingga timbul salah faham dan tidak puas hati kepada ketiga-tiga penyampai radio Era.
Sampailah ‘netizen’ yang prihatin bantu mereka dan mengeluarkan klip video penuh untuk meredakan kemarahan dan salah faham antara pihak-pihak terbabit.
Keempat, selain daripada tarian Pak Azad yang serupa dengan tarian ‘entrance’ Miki Ghazali dan adanya Pak Azad sendiri yang ‘tag’ Miki Ghazali bagi klip tersebut, sekiranya kita rujuk tarian pemain bola West Ham United memang bunyi sebutan ‘wei wei’ (serupa dengan klip video kita) kedengaran ketika menari ‘paqueta’.
Kelima, mengapa perlu video itu disunting sekiranya mereka benar-benar ingin mencari kebenaran?
Saya percaya sekiranya ambil video itu secara penuh daripada awal, mereka akan ‘kantoi’ yang tarian dibuat oleh Pak Azad semata-mata untuk meniru tarian Miki sebab ada latar belakang lagu Paqueta yang jelas kedengaran.
‘Kantoi’ juga yang mereka gelakkan bukan sebab ada pihak yang menyebut ayat ‘wei-wei’ sebaliknya tarian Azad yang lucu meniru Miki.
Pada dapatan saya terdapat salah faham yang jelas dalam kes ini dan ada pihak cuba menganiaya, mengkhianati dan memfitnah ketiga-tiga penyampai radio ini.
Saya ingin tegaskan disini bahawa tujuan saya menerangkan secara detail tentang kes ini adalah untuk meredakan ketegangan yang berlaku antara kita semua sebagai satu keluarga di Malaysia.
Ramai sahabat-sahabat India saya yang saya anggap seperti ‘uncle’, kakak dan abang saya sendiri. Saya menjadi sangat marah apabila mengetahui adanya komplot dan agenda jahat sesetengah pihak cuba untuk menjadikan ini sebagai isu perkauman.
Saya harap penjelasan di atas dapat membuktikan bahawa kita semua ditipu dan diperdaya oleh agenda jahat yang cuba memecahbelahkan kita sebagai satu keluarga yang harmoni!
Saya sarankan kepada PDRM daripada siasat ketiga-tiga penyampai radio ini, sebaiknya PDRM siasat siapakah dalang yang menyunting video dan menghasut orang ramai terutamanya kaum India sehingga wujudnya salah faham antara kita semua!
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






