Majlis Menandatangani MOU Memformalisasikan Kerjasama Strategik untuk Meningkatkan Kemahiran Tenaga Kerja di Malaysia
Wawasan Open University (WOU) telah menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TT Vision Technologies Sdn Bhd, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Clarion (Malaysia) Sdn Bhd untuk meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor semikonduktor dan pembuatan di Malaysia.
MoU yang ditandatangani hari ini di kampus induk WOU di Pulau Pinang, menetapkan WOU sebagai rakan utama dalam pembangunan kemahiran bagi ketiga-tiga organisasi, bertujuan untuk melatih 200 profesional teknikal dan kejuruteraan dengan kemahiran kritikal yang diperlukan untuk berjaya dalam era Industri 4.0.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Lily Chan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Naib Canselor WOU, menekankan pentingnya kerjasama antara industri dan akademia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap profesional berkemahiran tinggi. “Kerjasama ini menunjukkan bagaimana universiti dan industri boleh berganding bahu untuk menghadapi keperluan tenaga kerja yang terus berkembang,” ujarnya. “Dengan mengintegrasikan perspektif industri dalam kurikulum, pihak universiti sedang mempersiapkan golongan profesional untuk berjaya menghadapi cabaran global yang semakin pesat.”
Kolaborasi ini juga selaras dengan inisiatif strategik Pulau Pinang untuk membangunkan tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, automasi dan elektronik automotif, seiring dengan program pembangunan bakat di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Kerjasama ini akan menampilkan Sijil Profesional dan micro-credentials yang disesuaikan dengan setiap industri. WOU akan menyediakan TT Vision dengan pensijilan dalam Analitik Pembuatan yang Dikuasakan oleh IoT, meliputi aspek utama seperti IoT, analitik data, dan integrasi robotik. Pensijilan ini merangkumi micro-credentials yang boleh digunakan sebagai laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik atau Pembuatan Pintar.
Bersama Oppstar, WOU menawarkan Sijil Profesional dalam Reka Bentuk IC, yang memberi tumpuan kepada Reka Bentuk Litar CMOS, Litar Campuran, dan Reka Bentuk IC Digital. Peserta juga berpeluang mengumpul kredit pembelajaran yang membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Sains Kejuruteraan Reka Bentuk Sistem di WOU.
Kolaborasi dengan Clarion Malaysia membuka peluang kepada pekerja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah, seperti Sarjana Sains dalam Pembuatan Pintar dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Pengeluaran & Pengurusan Pembuatan, yang bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal yang mendalam serta kepimpinan yang kompetitif.
Kerjasama strategik dengan WOU mendapat sambutan positif daripada rakan industri, yang melihatnya sebagai langkah penting untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan. Goon Koon Yin, CEO TT Vision Technologies, berkata inisiatif ini akan mempersiapkan pekerja menghadapi cabaran pembuatan pintar dan integrasi IoT, serta menawarkan pembangunan kerjaya yang signifikan. Lee Chun Keat, Pengarah Kejuruteraan OppStar Technology, menekankan usaha untuk memperkasakan kepakaran semikonduktor negara melalui kemahiran reka bentuk IC khusus, bagi mendorong inovasi dan meningkatkan daya saing. Nicholas Tan, Pengarah Lembaga Kumpulan Clarion Malaysia, berkata kerjasama ini membuka peluang untuk memperluaskan program peningkatan kemahiran pekerja, khususnya dalam teknologi automotif, serta memacu inovasi dan efisiensi dalam menghadapi cabaran teknologi yang berkembang pesat.

Datuk Loo Lee Lian, CEO InvestPenang, yang turut hadir sebagai Tetamu Kehormat pada majlis tandatangan tersebut, menekankan impak besar yang dibawa oleh inisiatif ini. “Kerjasama ini memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat teknologi tinggi dan sumber tenaga kerja terlatih, sekaligus menyumbang kepada pembangunan negeri dan meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi utama pelaburan asing,” ujarnya. Datuk Loo turut menjelaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan Pelan Tindak Bakat STEM Malaysia dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS), yang memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor teknologi tinggi di peringkat global.
Majlis tandangan tersebut turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Lembaga Gabenor WOU dan Datuk Seri Stephen Yeap, Pengerusi WOU Sdn Bhd. Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil dari NCER, HRD Corp dan tetamu jemputan dari rakan industri yang turut sama menyokong kolaborasi ini.
WOU sedang giat bekerjasama dengan pelbagai syarikat dari berbagai sektor untuk memperluaskan inisiatif peningkatan kemahiran dan memperkukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai pusat inovasi dan kepakaran berteknologi tinggi.
Organisasi yang berminat untuk bekerjasama dengan WOU digalakkan untuk menghubungi kami bagi mendapatkan butiran lanjut.Untuk sebarang maklumat, sila hubungi WOU Academy di enquiry@wou.edu.my atau layari www.wou.edu.my