Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyedari kepentingan menangani isu sosial dalam kalangan belia seperti penyalahgunaan bahan terlarang, masalah mental, dan jenayah ringan.
Sebagai langkah proaktif, KBS kini giat menjalankan penglibatan dengan pelbagai pemegang taruh antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi merangka beberapa inisiatif holistik.
Kerjasama strategik ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, menyediakan intervensi efektif, serta membendung gejala sosial melalui pendekatan bersepadu.
Hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menghadiri sesi taklimat oleh Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di Hospital Kuala Lumpur bagi merancang dan mempergiatkan agenda advokasi berfokuskan empat komponen utama: Kesan Penggunaan Bahan, Corak Penggunaan Dadah, Sistem Rawatan Perkhidmatan Yang Disediakan, serta Perkhidmatan Pesakit Luar & Pesakit Dalam berserta Jenis Intervensi.
Program ini dirancang secara interaktif untuk mendidik belia tentang risiko penyalahgunaan dadah, kaedah mendapatkan bantuan, dan kepentingan sokongan psikososial. Aktiviti seperti forum, simulasi, dan kempen digital akan dilaksanakan bagi memastikan maklumat sampai kepada kumpulan belia.
Kolaborasi bersama pelbagai rakan strategik menjadi teras utama pelan tindakan KBS dalam membantu belia Malaysia mencegah dan mendapatkan bantuan sekiranya mereka telah terjebak.
Sumbangan kepakaran perubatan dalam aspek rawatan dan rehabilitasi manakala PDRM memberi input pencegahan melalui penguatkuasaan dan program kesedaran komuniti.
Selain itu, KBS sedang memperluas jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan NGO yang berwibawa dalam bersama membantu belia.
-THE MALAYSIA VOICE