Sejak dulu lagi bila muncul sahaja muzik ataupun genre baru, mesti ada yang tak suka. Menariknya ketika zaman pop yeh yeh mula-mula popular, P.Ramlee sendiri agak kurang menggemari muzik tersebut.
Jadi kenapa P.Ramlee tak suka muzik pop yeh yeh?
P.Ramlee menyatakan bahawa pop yeh yeh tidak mementingkan kualiti lagu. Sebab hanya fokus kepada bunyi yang lebih kuat. Malah kemasukan pop yeh yeh dianggap boleh merosakkan anak muda.
Sebab anak muda akan mula terikut-ikut fesyen dan budaya yang tidak bersesuai dengan orang timur. Antaranya seperti berambut panjang dan mengenaikan pakaian ala ‘groovy’.
Bukan sekadar mengkritik sahaja, P.Ramlee tawarkan menyelesaian melalui penubuhan band Panca Sitara. Tujuannya adalah untuk membendung pengaruh pop yeh yeh dan muzik ala kumpulan The Beatles.
Senang cerita Panca Sitara ingin mengekalkan muzik irama Melayu tetapi diberi nafas baru. Band ini boleh dikatakan agak berjaya melalui penghasilan lagu Bila Larut Malam.
Selain Panca Sitara, P.Ramlee juga ada tubuhkan beberapa buah band seperti Ben Puteh dan P.Ramlee & Veterans.
Menariknya band-band ini memainkan muzik bernuansakan pop yeh yeh. Antara lagu band P.Ramlee & Veterans adalah seperti Balo Balo Q dan Zap A-go-go.
Biarpun P.Ramlee agak kurang gemar dengan pop yeh yeh dan muzik ala The Beatles, beliau sendiri pernah hasilkan lagu seumpama itu.
Malah P.Ramlee boleh dikatakan sebagai pemuzik Melayu pertama yang cuba gabungkan rock barat dan pop dalam penghasilan lagu. Buktinya ada dekat lagu Bunyi Gitar.
Masalahnya macam ini, nampak ironi?
Menurut Jeffrydin, P.Ramlee tidak pernah menolak muzik pop yeh yeh. Bahkan sentiasa mengikuti perkembangan muzik tersebut. P.Ramlee juga pernah menyisipkan pesanan buat Jeffrydin untuk berjaya dalam muzik.
Dekat sini kita faham P.Ramlee bukanlah tidak suka muzik pop yeh yeh, mungkin cuma risau impak negatif yang dibawa bersama muzik tersebut.
Lebih kurang sama dengan ‘atuk pop yeh yeh’ yang risau tengok ‘pak cik rock kapak’ angguk-angguk kepala layan Srikandi Cintaku. Sama juga dengan ‘pak cik rock kapak’ yang risau tengok anak indie ‘mosh’ lagu Kotak Hati.
SUMBER: The Patriots