JUST IN

Tidak wajar sentimen kepada wanita tidak bertudung. Hinakah mereka?

by | Jan 16, 2025 | National, News, Opinions

OLEH: NORMAN RADZUAN

Tidak nampak roh Islam dalam PAS, apabila kafir bekerjasama dengan kafir.

Jangan salah faham dengan saya. Saya bukan menyerang Islam, tetapi yang saya lawan parti PAS. Saya yakin dengan pegangan agama yang dipelajari selama ini melawan PAS bukan melawan Islam.

Maaf pandangan kita berbeza. Jika kalian melihat org yang memakai jubah dan kopiah itu seorang yang alim, untuk saya ia hanyalah pakaian bangsa Arab.

Siapa yang memakainya tidak bermakna dia seorang suci, dia bercakap benar dan juga tidak bermakna dia dijamin masuk ke syurga. Dia juga pendosa seperti kita.

Saya lebih melihat akhlak seseorang itu untuk menilai dia seorang Muslim yang baik. Bukan panjang janggut dan lebam dahinya tetapi mulut penuh dengan cacian dan menghina pendosa.

Anda masih ingat apa yang dikatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man?

Katanya, “Kalau nak beli di bazar, jangan tengok apa yang dia jual tetapi tengok siapa yang menjual. Jangan beli dari tangan-tangan yang tak takut kepada Allah. Jangan beli dari tangan yang tak tutup aurat. Jangan beli dari tangan-tangan yang tak solat. 12 jam kita berlapar akhirnya kita berbuka dari makanan orang yang tidak taat kepada Allah.”

Hina sangatkah wanita yang tidak bertudung itu hingga melarang umat Islam membeli dari tangan yang tidak menutup aurat?

Cuba anda bayangkan anak-anak yang memakan makanan yang dimasak oleh ibu mereka yang tidak menutup aurat? Adakah mereka akan menolak untuk memakannya atau sepanjang hidup mereka memakan makanan yang tidak baik?

Sedangkan Tuan Ibrahim waktu menjadi Menteri merasmikan majlis-majlis tertentu, adakah dia tahu atau peduli makanan katering itu dimasak oleh mereka yang tidak menutup aurat atau tidak?

Saya suka kata-kata Ali bin Abi Thalib, “Perbuatan dosa yang membuatmu sedih dan menyesal lebih disukai oleh Allah daripada amalan baik yang membuatmu menyombongkan diri.”

Lihat Ella, Erra Fazira, Ziana Zain dan lain-lain yang tak pernah terbayang oleh kita mereka akan menutup aurat. Sedangkan pelacur pun boleh masuk ke syurga hanya berbuat baik dengan binatang.

Mengapa ada pelacur dimasukkan ke dalam syurga? Pandangan sesetengah masyarakat terhadap syurga ia diduduki org yang menjalankan tugasnya sebagai hamba yang patuh pada perintah Allah. Sebab itu kena kaji kenapa Nabi menceritakan kisah ini untuk kita sedar kita ini hamba-Nya dan syurga itu milik Allah.

Selama 25 tahun saya di belakang tabir membantu PAS, tetapi tidak pernah menyertai parti ini. Kenapa saya lebih rela memilih arqam dan tabligh berbanding PAS?

Jawapannya mudah kerana tiada roh Islam dalam parti itu. Bila saya mendengar kuliah arqam dan tabligh penuh dengan kata-kata nasihat, suruh berkasih sayang, mendidik akhlak berdasarkan akhlak Rasulullah, menyuruh mengajak semua manusia ke arah kebaikan.

Paling penting kedua jemaah ini tidak mengajar pengikut mengakfirkan dan berburuk sangka dengan orang lain. PAS mudah sahaja, siapa tidak bersama bukan mahu didakwah tetapi dihina dengan pelbagai jenis cacian.

Bezakan antara dua jamaah Islam ini dengan PAS. Dalam jamaah arqam dan tabligh, selama saya ikuti 6 hingga 7 tahun, tidak pernah mana-mana maulana atau ustaz-ustaz mencerca wanita tidak bertudung atau pendosa-pendosa.

Pernah anda dengar daripada Presiden PAS menasihati orang bawahannya jangan memfitnah musuh politik mereka? Jangan menghina pendosa-pendosa sebab nasib kita pun belum tahu lagi?

Tiada. Malah dengan Presidennya sekali menghina mereka yang tidak bersama dengan partinya. Habis segala jenis binatang diberi perumpamaan.

Akhirnya wujud perpecahan umat Melayu di negara ini. Sebab itu apabila Hadi ingin menyatukan Sunnah dan Syiah, dia diketawakan kerana di dalam negaranya sendiri, dialah punca orang-orang Melayu berpecah belah.

Dialah yang menuduh orang Melayu tidak bersamanya sebagai kafir. Hingga solat dua imam, hingga bercerai pasangan suami isteri.

40 tahun dahulu Hadi kafirkan UMNO dan sehingga kini dia tidak pernah memohon maaf. Mahathir juga berkata PAS ini parti kafir, Muhyiddin pula kata PAS ini parti ajaran sesat.

Anda tidak rasa pelik apabila melihat kafir dengan kafir bekerjasama? Tidak berasa pelik Muhyiddin boleh bekerjasama dengan ‘parti ajaran sesat’? Bahaya untuk umat Melayu mengikuti mereka ini.

Sebab itu saya tidak tertarik dengan parti PAS yang menunggang agama untuk tujuan politik. Hilang rasa hormat saya kepada ulama-ulama PAS apabila Bala seorang lelaki beragama Hindu mengaku dirinya sering bermimpi bertemu Nabi tetapi Ulama PAS diam membisu.

Hilang rasa percaya saya kepada ulama PAS ketika mereka membiarkan sahaja pimpinan kecil mereka memberitahu jika ada nombor keahlian PAS, malaikat benarkan masuk ke syurga.

Siri pembodohan atas nama agama di akhir zaman ini semakin menjadi-jadi. Di Tanah Melayu, terutama di negara jiran keturunan Arab berlumba-lumba untuk mengaku sebagai habib.

Sedangkan di negara Arab sendiri tidak seperti ini. Habib ini diangkat seolah-olah seorang wali. Tapi apabila kita tidak mempercayai, mulalah dibaca ayat al-Quran atau hadis untuk menakut-nakutkan kita.

Pernah dengar hadis ini, “Man tasyabbaha biqaumin fahuwa minhum” yang maksudnya lebih kurang ‘Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia menjadi sebahagian daripada mereka.’

Saya tanya, apa kena mengena hadis ini dengan penolakan kepada parti yang mengaku pejuangkan Islam? Sedangkan saya tidak melihat roh Islam dalam perjuangan mereka.

Mana ada Islam ajar kafirkan sesama Islam, mana ada ajaran Islam ajar hina orang lain, mana ada ajaran Islam mengaku ada ahli nombor parti dia akan masuk syurga, mana ada ajaran Islam malaikat turun mengundi parti mereka? Mana ada Islam karut marut seperti ini.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

gambar-hiasan-KREDIT-Arash-Khamooshi-The-New-York-Times-Redux.jpg

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES