JUST IN

Ini sebabnya kita keluar mengundi 5 tahun sekali

by | Dec 17, 2024 | National, News, Opinions

OLEH: FAKHRY HARRAZ

Kalau anda tertanya-tanya kenapa pilihan raya di Malaysia dan banyak negara lain diadakan setiap lima tahun, jawapannya ada kaitan dengan sejarah politik Britain.

Pada abad ke-17, sistem politik Britain lalui banyak perubahan. Parlimen makin berkuasa selepas Revolusi Agung 1688 yang menamatkan pemerintahan mutlak raja. Namun, satu isu timbul: berapa kerap pilihan raya perlu diadakan?

Akta Tiga Tahun 1694 diperkenalkan untuk pastikan Parlimen dipilih semula setiap tiga tahun. Tujuannya adalah untuk cegah ahli Parlimen daripada memegang kuasa terlalu lama dan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

Dengan pilihan raya lebih kerap, pengundi ada lebih banyak peluang untuk pantau dan gantikan wakil mereka jika mereka tidak jalankan tugas dengan baik.

Tetapi sistem tiga tahun ini ada masalah. Pilihan raya yang terlalu kerap menyebabkan ketidakstabilan politik. Pada awal abad ke-18, Britain menghadapi ancaman daripada penyokong dinasti Stuart yang digulingkan. Ketika itu, Raja George I dan Parti Whig sedang berusaha untuk mengekalkan kestabilan kerajaan.

Jadi, pada tahun 1716, Akta Tujuh Tahun diperkenalkan. Undang-undang ini memanjangkan tempoh Parlimen daripada tiga tahun kepada tujuh tahun, dengan harapan dapat memberikan kestabilan politik dan ekonomi.

Langkah ini membolehkan kerajaan memerintah lebih lama tanpa gangguan pilihan raya, terutama dalam keadaan genting seperti ancaman pemberontakan. Namun, tempoh tujuh tahun dianggap terlalu lama untuk sesetengah pihak kerana ia mengurangkan kebertanggungjawaban wakil rakyat kepada pengundi.

Akhirnya pada abad ke-20, reformasi berlaku (Parliament Act 1911), dan tempoh ini dipendekkan kepada lima tahun. Tempoh lima tahun ini kekal menjadi standard di banyak negara, termasuk Malaysia.

Kesimpulannya, sistem pilihan raya lima tahun yang kita amalkan hari ini berasal daripada kompromi antara kestabilan politik dan keperluan rakyat untuk memastikan wakil mereka bertanggungjawab.

Walaupun nampak biasa, ia sebenarnya berpunca daripada sejarah panjang perjuangan politik, reformasi, dan keperluan untuk menyeimbangkan kuasa. Jadi, bila anda mengundi lima tahun sekali, ingatlah bahawa ia adalah hasil daripada sejarah yang penuh drama dan konflik!

SUMBER: The Patriots

gambar-hiasan-kredit-Suruhanjaya-Pilihan-Raya.jpg

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES