JUST IN

Cklamovski, Nafuzi ketua jurulatih skuad kebangsaan baharu bermula 1 Januari depan

by | Dec 16, 2024 | Sports

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini mengumumkan secara rasmi nama dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad Harimau Malaya sebagai permulaan kepada revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan.

Mereka terdiri daripada Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan.

Bagi jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Peter Cklamovski dari Australia yang merupakan bekas pengurus FC Tokyo dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

Cklamovski yang kini berusia 46 tahun pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.

Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.

Manakala, jawatan Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan digalas Nafuzi Zain yang merupakan bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC dengan fokusnya bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.

Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian telah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.

Dengan kehadiran Nafuzi ini, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 kebangsaan pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Kedua-dua individu ini akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM untuk memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.

Butiran lanjut mengenai jawatan-jawatan lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-THE MALAYSIA VOICE

kredit-foto-FAM.jpg

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES