JUST IN

Menelusuri insiden ‘goblok’ di Indonesia, ‘bodoh’ di Malaysia

by | Dec 6, 2024 | National, News, Opinions, World

OLEH: NORMAN RADZUAN

Di Indonesia seorang Ustaz terkenal, Gus Miftah menggunakan ayat ‘goblok’ kepada penjual air hingga menaikkan kemarahan rakyat seluruh Indonesia.

Seperti biasa, di sana ada juga segelintir ‘walaun’ mempertahankannya dengan alasan dia hanya bergurau. Namun ia tidak dapat menahan kemarahan rakyat hingga ke ‘Bapa Presidennya’.

Di Malaysia ada dua individu seorang dipanggil ustaz juga sering menggunakan ayat ‘bodoh’ (mu bodoh) dan seorang lagi ‘tidak berapa ustaz’ menggunakan ayat ‘hang bodoh’ dipertahankan sebilangan besar orang Melayu di negaranya.

Di Indonesia kerana ayat ‘goblok’, Gus Mifthah terpaksa memohon maaf beberapa kali secara terbuka kepada penjual air itu. Tetapi di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dan Sanusi kekal bangga ayat ‘bodoh’ kerana tiada siapa yang marah atau menegurnya.

Di Malaysia berlaku pemohonan maaf hanya apabila diberi amaran untuk disaman. Maaf sebab takut dengan saman (balasan di dunia) bukan sebab takut dengan Allah (balasan di akhirat) Itu bezanya di Indonesia dan Malaysia.

Persamaannya, kedua-dua ustaz menggunakan ayat bodoh dengan bangganya. Di Indonesia, ketika ustaznya menyebut ‘goblok’ hadirin ketawa beramai-ramai dan perkara yang sama berlaku di Malaysia hadirin ketawa beramai-ramai apabila ustaz menyebut ‘mu bodoh’.

Ramai ulama dan para ustaz di Indonesia menegur secara keras dan sinis akan perlakuan Gus Mifthah. Dalil mereka mudah, guru tanpa adab.

Di Indonesia, Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) meminta para penceramah agar mengambil hikmah kejadian ucapan Gus Miftah yang mengolok-olokkan ketika ceramah tidak berulang.

Di Malaysia, apabila UAI dan Sanusi menggunakan ayat bodoh, tiada mufti menegur. Tiada para alim menegur, tiada ulama atau ustaz menegur. Malah paling lucu, Ketua Ulama Parti Pas pertahankan Sanusi menyanyi tengah malam dengan bukan muhrim di media sosial.

Dari kejadian ini, apa yang dapat kita pelajari? Ia selalu terjadi apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sangat berpengaruh maka dia menjadi sombong.

Orang yang sombong akan melihat dirinya lebih besar atau hebat daripada orang lain dan memandang dirinya lebih sempurna berbanding orang lain. Sebab itulah syaitan dihalau dari syurga kerana sombong. Manusia belum masuk syurga sudah sombong.

Bayangkan disebut ‘goblok’ kiri dan kanan ustaz ketawa semahu-mahunya bukan ada perasaan empati kepada penjual air yang diaibkan di hadapan orang ramai.

Di Malaysia, UAI dan Sanusi berulang kali menyebut ayat ‘bodoh’ kerana mereka tahu pentaksubnya ramai. Disebut ‘mu bodoh’ disambut dengan ketawa riang.

Tinggi ilmu tidak guna jika adab tiada. Perlu diingatkan tanpa adab ilmu tidak akan meninggikan darjat seseorang di sisi Allah.

Ingatlah jika seorang guru cuba mengajar akhlak kepada muridnya dengan buku, guru itu akan gagal. Tetapi apabila guru itu menunjukkan teladan melalui akhlaknya, insya-Allah anak-anak muridnya akan mengikuti perkara yang sama.

Saya sebenarnya hairan PAS yang kononnya parti Islam tidak pernah menegur pimpinan dan ahli-ahli mereka dalam soal ini. Seolah-olah mereka menghalalkan perbuatan tersebut.

Memfitnah boleh, mencarut boleh, menghina orang boleh, maki hamun orang boleh. Nak tanya, inikah ajaran Islam? Jika ini dihalalkan, fahamilah ia sudah tersesat jauh dan terputus dengan ajaran Nabi.

Sanusi yang disaman berkali-kali kerana memfitnah dan menghina, mengapa orang seperti ini perlu disokong? Lebih teruk ‘body shaming’ menghina MB Selangor tidak cukup inci dan menghina Rafizi tentang giginya.

Penghinaan yang dilakukan oleh agamawan sama ada di Indonesia dan Malaysia, itu sebenarnya mereka menghina ciptaan Tuhan. Bagaimana orang-orang seperti ini diangkat menjadi pemimpin yang disanjung tinggi orang Melayu?
Allah tunjukkan Dia Maha Berkuasa. Penghinaan daripada orang yang perasan seorang beragama, lalu dia dihina oleh jutaan manusia di seluruh rumpun Melayu hingga ke Malaysia, Brunei dan Singapura.

Malah Allah angkat darjat orang yang diaibkan itu. Segala bantuan datang mencurah-curah seperti ribuan ringgit, pakej umrah dan kenderaan disumbangkan oleh selebriti dan pempengaruh Indonesia.

Saya tertarik dengan ucapan seorang guru di Indonesia mengenai isu ini. Katanya, begitu mudah orang menggunakan gelaran ‘Gus’ tetapi sebenarnya ia adalah orang bodoh yang dipercayai masyarakat. Orang menipu yang dipercayai.

Saya juga tertarik dengan sindiran keras wartawan CNN Indonesia kepada Istana Presiden, yang mengatakan Gus Mifthah hanya meminta maaf selepas ditegur oleh Mayor Teddy, wakil kepada Presiden.

Bagi saya, kadang-kadang manusia itu hanya meminta maaf kerana bimbang periuk nasinya terjejas. Ramai juga manusia meminta maaf kerana tidak sanggup menerima celaan manusia dan bukan kerana takut dengan celaan Allah. Wallahualam.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

GAMBAR-HIASAN.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES