JUST IN

Peniaga sertai program asnaf SME Bank raih jualan terkumpul RM3.6 juta

by | Dec 23, 2022 | Business, LOCAL | 0 comments

Program Keusahawanan Asnaf SME Bank atau ISHRAF 2.0 telah menunjukkan hasil apabila 79 orang peserta berjaya meraih jualan terkumpul RM3.6 juta sehingga suku ketiga 2022.

Program ISHRAF 2.0 bermula pada November 2021 adalah kesinambungan ISHRAF 1.0 bertujuan meningkatkan taraf hidup peniaga asnaf dan mikro yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya menyokong penuh inisiatif seperti Program ISHRAF 2.0 dan menggesa agensi-agensi KUSKOP untuk terus menganjurkan program seumpama ini agar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh terus aktif menjana semula ekonomi negara.

“Program ISHRAF 2.0 anjuran SME Bank bukan sahaja memberi peluang untuk usahawan asnaf dan mikro malah mengubah sosioekonomi golongan asnaf di Malaysia.

“Langkah SME Bank bekerjsama dengan agensi kerajaan yang lain adalah satu langkah yang efisien dalam kita berkongsi sumber dan mengurus dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, SME Bank telah memperuntukkan dana zakat sebanyak RM600,000 manakala rakan strategiknya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan SME Corp masing-masing telah memperuntukkan dana sebanyak RM284,400 dan RM190,000 setiap organisasi.

“Penambahan dana ini membolehkan program ini memanfaatkan lebih ramai usahawan asnaf di enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbanding edisi ISHRAF 1.0 yang hanya memberi fokus di Selangor sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail mengulas, lima peserta terbaik Program ISHRAF 2.0 telah mencatatkan purata jualan sebanyak RM22,000 sebulan.

“Secara keseluruhannya, peserta-peserta telah mencatatkan peningkatan jualan yang positif sejak menyertai Program ISHRAF 2.0 dengan purata jualan sebanyak RM5,100 sebulan berbanding RM3,300 sebulan sebelum ini,” katanya.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES