DO FOLLOW
Bilingual, Multi-Topical News and Views
JUST IN
Facing the challenges of the B40 community
A Kok and Bull-y story
Learn lessons from 1MDB debacle
Rivers as a source of life
Websites with prohibited content to be monitored
Jakim’s irrelevance beginning to show
Policies that are a hindrance to progress
Watak Les Grossman bantu lonjak nama Tom Cruise. ‘Spin-off’’ bakal menyusul?
Flag Football: An Emerging Sport in Malaysia
‘Work Life Balance’ punca waktu kerja anjal popular dalam kalangan pekerja wanita
OLEH: ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI
Menuntut ilmu merupakan kewajipan kepada semua orang tidak kira lelaki dan wanita (Riwayat Bukhari). Justeru, ilmu tersebut perlu dimanfaatkan di alam pekerjaan. Tuntutan majikan dan rumah tangga amat mencabar minda dan mental ramai pekerja wanita.
Justeru, ‘work life balance’ merupakan idaman para wanita yang mahu berjaya dalam pekerjaan dan rumahtangga. Dengan keseimbangan ini, para wanita dapat bebas daripada tekanan yang menyekat mereka dari memberi sumbangan yang terbaik kepada majikan dan keluarga.
Dewasa ini didapati angka wanita belajar di universiti meningkat lebih ramai daripada lelaki. Ini mungkin disebabkan oleh sikap wanita yang rajin, sabar dan gigih. Sejak kecil, mereka diasuh dengan kerja rumah seperti membantu ibu memasak, mengemas, melipat kain dan menjaga adik-adik.
Walaupun ramai wanita yang berpendidikan tinggi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, angka wanita bekerja adalah kurang (55.6%) daripada lelaki (80.9%). Ini mungkin disebabkan oleh pekerja wanita mempunyai tanggungjawab yang lebih berat iaitu menjaga anak-anak yang masih kecil.
Wanita juga menghadapi masalah kesihatan dan emosi dalam memberi tumpuan terhadap pekerjaan ketika mereka mengandung. Tambahan pula, cuti bersalin yang panjang menyebabkan majikan sering mengatakan wanita sebagai tidak komited dalam pekerjaan mereka dan ini menyebabkan perkembangan kerjaya mereka terganggu.
Justeru, pekerja wanita memerlukan kesimbangan antara pekerjaan dan rumahtangga yang dikenali sebagai ‘work life balance’. Pekerja wanita mengalami masalah dan kesukaran dalam mengimbangi peranan mereka sebagai ibu, isteri, pekerja dan anak pada masa yang sama. Dengan ‘work life balance’, konflik peranan ini dapat diminimakan. Ini penting agar mereka dapat memberikan tumpuan yang sama baik kepada majikan dan rumah tangga mereka.
Wanita menghadapi masalah dalam keseimbangan antara kerja dan kehidupan disebabkan wanita terbeban dengan kerja rumah dan menjaga anak-anak yang masih kecil atau menjaga ibu-bapa yang sakit. Tambahan pula, pasangan mereka juga turut bekerja dan memerlukan mereka memberi tumpuan lebih kepada pekerjaan mereka.
Sekiranya suami mereka merupakan ‘bread-winner’ yang paling menyumbang kepada perbelanjaan di rumah, kebiasaanya, pekerja wanita akan mengalah untuk berhenti kerja. Kos penjagaan anak yang mahal dan jurang pendapatan menjadi faktor mengapa ramai pekerja wanita berhenti kerja dan duduk di rumah.
Waktu kerja anjal merupakan satu bentuk kerja fleksibel yang paling popular dalam kalangan pekerja wanita di mana mereka boleh memilih masa tertentu untuk hadir di pejabat. Ia dilaksanakan oleh sektor awam dan juga swasta. Selain daripada itu, bekerja dari rumah, berkongsi kerja dan pemampatan kerja mingguan juga merupakan antara bentuk kerja fleksibel yang boleh diperkenalkan dan dilaksanakan oleh majikan.
Dengan pengenalan dan perlaksanaan waktu kerja anjal, pekerja wanita tidak merasa tertekan untuk hadir bekerja dan mereka merasa seronok untuk bekerja. Justeru, mereka akan bermotivasi dan bekerja dengan lebih tekun dan gigih. Tambahan pula, anak-anak mereka tidak akan merasa kehilangan ibu mereka.
Kesibukan lalu-lintas juga merupakan masalah yang dihadapi oleh pekerja wanita yang menyebabkan masa mereka banyak dihabiskan di jalan raya. Ini berlaku terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Justeru, dengan waktu kerja anjal ini, pekerja wanita dapat melaksanakan dan menyelesaikan tugas mereka di rumah sebelum dan selepas mereka ke pejabat.
Mereka juga dapat menghantar anak mereka ke sekolah malah dapat ke bank atau ke ‘supermarket’ membeli barangan dapur dan barangan keperluan.
Tambahan pula, syarikat antarabangsa seperti Shell terutamanya jabatan perniagaan global dan pasukan global sangat peka dengan waktu kerja anjal kerana mereka memerlukan pekerja yang dapat berurusan dengan ibu-pejabat di Amerika ataupun Eropah yang berlainan zon masa.
Waktu kerja anjal ini didokong oleh Akta Kerja (Pindaan) 2022 yang mengurangkan waktu kerja wanita daripada 48 jam kepada 45 jam. Dengan pengurangan ini, pekerja wanita akan menjadi lebih produktif dan kualiti kerja akan meningkat.
Mereka juga akan kurang mengambil kerja lebih masa, cuti sakit dan dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan dengan lebih baik. Pendek kata, ketidakhadiran pekerja wanita akan berkurangan dan pengekalan pekerja wanita akan meningkat.
Tidak hairanlah mengapa ‘work life balance’ merupakan pilihan wanita bekerjaya. Menerusi waktu kerja anjal, pekerja wanita dapat bebas daripada tekanan dan dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Pekerja wanita merupakan modal insan dan aset kepada organisasi. Ini kerana tanpa mereka, organisasi tidak akan menjadi pelbagai. Kepelbagaian adalah penting dalam percambahan minda di organisasi dan pembuatan keputusan yang terbaik. Ini penting bagi kedayasaingan organisasi sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.
**Prof. Madya Dr. Ilhaamie binti Abdul Ghani Azmi merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)