Bintang pertahanan berkelas antarabangsa yang beraksi mewakili kelab Divisyen 1 Republik Czech, Dion Cools nampaknya tidak akan menyertai skuad Harimau Malaya di kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023 ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Dion Cools merupakan salah seorang daripada lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain tidak dapat meneruskan perjuangan bersama-sama kem kebangsaan berikutan faktor urusan peribadi.
“Empat lagi pemain yang tidak berada dalam senarai akhir tersebut iaitu penjaga gol, Azri Ab Ghani, Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman dan Aliff Izwan Yuslan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah FAM, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin, 19 Disember 2022 bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.
“Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.
“Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan keempat bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023,” ujarnya.
Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.
-THE MALAYSIA VOICE