JUST IN

Keputusan PRU15 Padang Serai, Tioman isyarat jelas rakyat tolak gabungan PH-BN

by | Dec 8, 2022 | National, News, Opinions | 0 comments

OLEH: MUHYIDDIN YASSIN

Saya mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih Perikatan Nasional (PN).

Syukur ke hadrat Allah SWT, kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Keputusan kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14.

Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara. Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU-15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever’ dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai.

Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen.

** Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Pengerusi Perikatan Nasional

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES