JUST IN

Malaysia amalkan teknik pembakaran sifar elak pencemaran dan jerebu

by | Nov 22, 2022 | Business, Local | 0 comments

Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia telah mengamalkan teknik pembakaran sifar dan telah mengenakan larangan ke atas pembakaran terbuka pada 1998.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, dasar pembakaran sifar ditetapkan di bawah Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Malaysia telah lama dikaitkan dengan penebangan hutan hujan tropika dan pembakaran tanah gambut dan menyebabkan pencemaran udara. Pembakaran hutan tropika adalah dilarang dan bertentangan dengan undang-undang Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Malaysia mengakui peningkatan tahap dan kekerapan kebakaran tanah gambut yang dikaitkan dengan jerebu.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk menyelaras langkah-langkah agensi kerajaan dalam menangani masalah pembakaran terbuka dan jerebu di negara ini.

Beliau berkata pengawalseliaan paras air tinggi (high water table) antara 40 sm dan 60 sm adalah salah satu elemen utama dalam Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) untuk mengawal kebakaran hutan.

“Pengurusan yang baik dilaksanakan bagi mengurangkan kesan penanaman sawit di kawasan gambut di Malaysia. Peraturan paras air (water table regulation) adalah kritikal dan sedang dilaksanakan di kawasan tanah gambut yang ditanam dengan pokok sawit,” katanya.

Malaysia telah menerima pakai beberapa dasar utama termasuk melarang penanaman baharu sawit di kawasan tanah gambut dan mengukuhkan peraturan mengenai penanaman sawit sedia ada di tanah gambut. Dasar itu juga menyaksikan pengehadan jumlah kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar bagi memastikan penanaman sawit mampan.

Berdasarkan State of the World’s Forests (SOFO) Pertubuhan Makanan dan Pertanian, 22 negara termasuk Malaysia telah berjaya meningkatkan tahap keselamatan makanan negara dan pada masa yang sama mengekalkan peningkatan litupan hutan, menunjukkan bahawa hutan tidak perlu ditebang untuk menghasilkan lebih banyak makanan.

Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia masih disenaraikan sebagai dua belas negara megadiverse teratas di dunia. Ia bertanggungjawab ke arah melindungi dan memulihara kekayaan biodiversiti dan endemisme yang berharga di negara ini.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES