Teka-teki mengenai siapakah calon Perdana Menteri baharu Malaysia ke-10 yang bakal dilantik terus menjadi tanda tanya di saat rakyat masih menanti pengakhiran jawapan kepada kemelut politik dalam situasi parlimen tergantung, ketika ini.
Meskipun pada awalnya ketua gabungan Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing menyatakan telah memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, namun pihak Istana Negara yang mewakili Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memaklumkan bahawa masih tiada antara mereka yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Justeru, satu perjumpaan secara peribadi bersama-sama Muhyiddin dan Anwar telah diadakan di Istana Negara pada petang tadi.
Terbaharu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, YDPA menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk mengadap baginda pada esok.
Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sesi mengadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok di Istana Negara.
-THE MALAYSIA VOICE