Di sebalik kemeriahan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung esok, ternyata masih timbul pertikaian mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi ‘lampu hijau’ kepada pesakit Covid-19 untuk turun mengundi.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, mereka yang positif perlu memaklumkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi.
“Pegawai perubatan KKM akan mengasingkan pengundi yang positif Covid-19 dan mereka akan mengundi dengan segera. Kita (SPR) cuba untuk memisahkan mereka dengan pengundi lain bagi mengurangkan kontak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, beberapa langkah am perlu diambil bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundian.
“Pengundi yang positif Covid-19 perlu sentiasa mengenakan pelitup muka ketika menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Pengundi yang positif juga perlu menggunakan kenderaan sendiri untuk pergi dan kembali dari pusat pengundian. Mereka dilarang mengambil kenderaan awam atau perkhidmatan e-hailing.
“KKM juga menyarankan supaya pengundi yang positif Covid-19 untuk sentiasa memastikan tangan mereka dibersihkan dengan pensanitasi di tempat yang dikenalpasti semasa mengundi serta digalakkan membawa cecair sanitasi sendiri,” jelasnya.
Meskipun kedua-dua pihak memberi jaminan proses pengundian yang teratur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dititikberatkan, rata-rata maklum balas di laman sosial mendapati wujudnya kebimbangan terhadap situasi yang memungkinkan penularan Covid-19 secara besar-besaran seperti yang pernah terjadi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.
“Berani betul ya benarkan pengundi positif Covid-19 pergi mengundi? Nampaknya sekarang seolah-olah politik pula lagi penting daripada kesihatan. Kalau berjangkit ramai-ramai nanti, siapa yang nak bertanggungjawab?” kata Mizan Hamzah.
“Waktu PRN Sabah dulu, saya antara yang terkesan. Pihak berwajib nampaknya tak ambil pengajaran. Saya tak setuju pesakit Covid-19 keluar mengundi,” kata Azrina Yunus.
“Dua kali saya kena Covid-19 cukup seksa dah. Tak boleh percaya SOP dijaga sebaik mungkin di pusat undi. Celup jari dakwat pun boleh sebabkan jangkitan juga. Maaf, saya pilih untuk tidak keluar mengundi kali ini. Baik duduk di rumah diam-diam,” ujar Wendy Lau.
Namun begitu, ada juga segelintir pihak yang tetap optimis dan mempunyai pendapat yang berbeza.
“Jaga kesihatan itu kewajipan, namun kena ingat bahawa pilih pemimpin yang terbaik juga satu kewajipan yang dituntut. Jaga SOP, pakai pelitup muka dan tawakal sahaja. Insya-Allah pasti akan selamat. Lagipun negara kita kan dah ramai yang ambil vaksin. Tak perlu lah risau sangat,” kata Farahnadira.
“Rugilah sebenarnya orang tak ambil bahagian dalam PRU-15 ini. Seronok sebenarnya. 4 tahun sekali kita dapat pilih calon pemimpin untuk masa depan negara. Patuhi SOP dan jaga jarak waktu undi. Pergi mengundi bukan sekadar tanggungjawab tapi ia juga perjuangan bagi saya,” jelas Tharmajothi.
-THE MALAYSIA VOICE