JUST IN

K-KOMM perkasa sektor Ekonomi Perkongsian dengan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan

by | Sep 7, 2022 | Business, LOCAL | 0 comments

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menubuhkan serta mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (SEC).

Penubuhan SEC selaku jawatankuasa koordinasi berpusat diumumkan selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SEC ditubuhkan untuk menasihatkan kerajaan dalam langkah intervensi atau dasar untuk menyokong pertumbuhan model perniagaan Ekonomi Perkongsian selain melindungi kepentingan pekerja gig serta pengguna platform gig.

Justeru, SEC akan mengetuai semakan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Nasional berkenaan Ekonomi Perkongsian dengan mengkoordinasi serta menyelaraskan inisiatif berkaitan Ekonomi Perkongsian baharu dan semasa antara kementerian serta agensi yang relevan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, K-KOMM mengiktiraf Ekonomi Perkongsian sebagai satu bentuk model peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu yang berpotensi kepada rakyat.

“Antara sasaran yang disyorkan kepada SEC termasuklah mencapai pendapatan kumulatif pasaran sebanyak RM2.7 bilion, meningkatkan platform tempatan kepada 206 dan mengiktiraf 50 platform tempatan berdasarkan standard antarabangsa, seterusnya melatih serta mengesahkan 250,000 pekerja gig dalam sektor utama seperti perkhidmatan, logistik dan peruncitan selain membangunkan 100,000 pekerja bebas digital untuk merebut peluang pekerjaan gig bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, K-KOMM dan MDEC telah mengesahkan ketika penghujung tahun 2021 lalu bahawa terdapat 137 platform Ekonomi Perkongsian yang beroperasi di Malaysia berbanding hanya lima platform pada tahun 2015.

“Platform tempatan berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan merangkumi logistik, penghantaran jarak jauh dan bantuan peribadi yang bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat tetapi turut membantu syarikat yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.

Ekonomi Perkongsian merupakan salah satu daripada daripada ekosistem digital yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif Malaysia Digital. Malaysia Digital merupakan inisiatif strategik nasional untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES