Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan nampaknya telah berakhir hari ini dengan keputusan muktamad panel hakim memutuskan beliau tetap bersalah.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang dikenakan terhadap Najib.
“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan. Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara),” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Oleh yang demikian, sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib akan dilaksanakan berkuat kuasa hari ini.
Warganet yang turut mengikuti perkembangan kes berkenaan telah memberikan pelbagai reaksi dan mengharapkan keputusan tersebut adalah terbaik yang wajar dihormat semua pihak.
“Alhamdulillah syukur. Barisan panel hakim telah menjalankan tugasnya dengan adil dan bijaksana. Semoga Allah mengampunkan Datuk Seri Najib dan memberikan taufik dan hidayah kepadanya supaya dia tidak mengulangi kesilapan yang serupa. Amin,” kata Mohd Rodzi.
“Biar semua Yang Berhormat dan pemimpin tahu undang-undang untuk semua adalah sama, tak kira anda siapa atau parti mana, hukuman tetap dikenakan. Sekarang ‘penyamun’ semua kepanasan nombor. Anda akan dipanggil, tunggu!” ujar Budiman Gurung.
“Dia (Najib) dah dapat pengadilan yang sepatutnya. Masa untuk muhasabah diri kita. Kalau buat salah, jangan pernah letih meminta ampun daripada-Nya. Everyday is a brand new day, make sure version of yourself are better than yesterday,” kata Hariz Hizami.
“Semoga dengan hukuman ini ia menjadi ‘pengajaran’ buat semua ahli-ahli politik, penguasa-penguasa, pemimpin-pemimpin serta semua yang memegang jawatan dan kuasa supaya tidak sewenang-wenang menyalahgunakan kuasa untuk memenuhi tembolok sendiri,” ujar Suffian Abdul Rashid.
-THE MALAYSIA VOICE