JUST IN

Anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2022 rai 50 jaguh korporat CSR dan kemampanan

by | Aug 19, 2022 | Business, Local | 0 comments

Syarikat-syarikat korporat Malaysia yang cemerlang dalam arena tanggungjawab kemapanan dan sosial korporat bagi peningkatan transformasi sosio-ekonomi dan alam sekitar Malaysia telah diberi penghormatan pada majlis makan tengah hari Anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2022, semalam.

Penerima-penerima anugerah telah dipilih oleh panel juri berkaliber tinggi yang mewakili badan korporat dan sosial. Acara tahunan ini memberi peluang kepada syarikat di Malaysia untuk meraikan pencapaian cemerlang mereka yang telah banyak memberi inspirasi atas usaha kemapanan dan tanggungjawab sosial korporat dalam menjadikan negara Malaysia yang lebih baik, terutamanya melalui inisiatif berhati nurani mereka dalam usaha menentang Covid-19 yang mencabar di negara ini.

50 syarikat swasta yang tersenarai di Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi kerajaan serta yayasan korporat telah diberi penghormatan, pengiktirafan dan anugerah kerana bangkit untuk mendekati komuniti yang memerlukan dan melibatkan diri dalam usaha kemapanan untuk kebaikan semua Keluarga Malaysia.

Pengiktirafan kepada penerima-penerima anugerah telah disampaikan oleh tetamu kehormat, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid. 

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun ketika menurunkan tanda tangan sebagai simbolik pelancaran majlis Anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2022

Tema bagi edisi penganjuran anugerah kali ini ‘Memulihara Dunia Bersama – Menyokong Komuniti Luar Bandar’ dipilih kerana ia mencerminkan usaha syarikat yang telah menghulurkan bantuan yang besar kepada masyarakat luar bandar di Malaysia.

Antara penerima-penerima anugerah ialah Bank Rakyat, Top Glove, Mah Sing, Hong Leong Bank, Sunway, Astro Malaysia, McDonald’s, Prudential, Hektar REIT, OSK, Mah Sing, Celcom Axiata, Kuala Lumpur Kepong, KPMG, Kenanga Investment Bank dan 7-Eleven.

Celcom Axiata

Selain itu, DRB Hicom, Coway Malaysia, KPS Berhad, Bank Islam, Malaysia Airport Berhad, KPJ Healthcare, Touch ‘N Go, Sun Life Malaysia, Etiqa Insurance & Takaful, Flex Penang & Flex Johor, Alam Flora, Capitaland, Guan Chong Berhad dan Daikin Malaysia antara yang turut diraikan.

Flex Penang

Beberapa syarikat telah menerima anugerah berdasarkan kecemerlangan secara keseluruhan bagi usaha mereka yang memperjuangkan inisiatif kemapanan dan CSR. Antaranya ialah Bank Rakyat, Top Glove Corporation, Coway Malaysia, KPS Berhad dan KPJ Healthcare.

Bank Rakyat
Coway Malaysia

Pada majlis tersebut, penyanyi legenda yang cukup sinonim dengan lagu berjudul Hijau, Datuk Zainal Abidin telah menerima Anugerah Khas bagi sumbangannya yang banyak terlibat dalam pelbagai aktiviti pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar.

Kriteria penjurian untuk Anugerah Sustainability & CSR Malaysia dinilai berdasarkan matlamat yang jelas syarikat-syarikat untuk inisiatif CSR, impak yang dicipta atau kepentingan inisiatif CSR, kekerapan acara CSR diadakan, jumlah sumbangan yang diberikan, ketelusan dalam melaporkan inisiatif CSR, pelaksanaan kreatif aktiviti CSR, kekuatan pasukan CSR dan keikhlasan serta keberkesanan setiap inisiatif.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berharap agar program seumpama itu kelak akan mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang keperluan masyarakat luar bandar serta komuniti yang memerlukan dan pada masa yang sama mampu menyatukan semua usaha berkaitan transformasi pembangunan masyarakat dan kemapanan.

“Kementerian berharap untuk mendengar idea baharu dan menyokong lebih banyak inisiatif daripada pelbagai industri bagi memastikan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat mampu direalisasikan,” kata Datuk Ramlan Harun dalam ucaptamanya bagi mewakili Menteri KPLB.

Menurut Editor Pengurusan dan Pengerusi bersama CSR Malaysia, Lee Seng Chee, penerima-penerima anugerah yang terdiri daripada 50 syarikat korporat telah menyumbang sejumlah RM1,194 juta (kira-kira RM 1.2 bilion) bagi memperbaiki kualiti kehidupan mereka yang memerlukan, terutamanya golongan kurang bernasib baik serta pusat kebajikan sewaktu tempoh pemulihan pandemik ketika ini.

“Aspirasi syarikat-syarikat korporat Malaysia telah melangkaui keuntungan, tidak sekadar membina bangunan atau infrastruktur bertaraf dunia. Organisasi penyayang ini menggalakkan ekonomi mapan dengan membantu komuniti terpinggir dan melakukan usaha untuk memelihara alam sekitar dan warisan kita untuk generasi akan datang.

“Kemapanan adalah lebih daripada sekadar kata kunci untuk perniagaan masa kini. Pertumbuhan ekonomi yang mapan ini secara tidak langsung menggalakkan pekerjaan dan ekonomi yang lebih kukuh, dan pada masa yang sama menentang kesan perubahan iklim, pencemaran dan faktor persekitaran yang lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran berkata, dapatan kajian oleh CSR Malaysia dan Sustainability Malaysia baru-baru ini melihat bahawa syarikat yang melaksanakan kemapanan bukan sahaja mempunyai visi yang jelas dalam memastikan jangka hayat syarikat mereka terus utuh, malah mereka turut membangunkan strategi bagi menjayakannya.

“Secara lazim, fokus utamanya bukanlah semata-mata pengiktirafan untuk CSR dan kecemerlangan kemapanan. Tetapi harus diingat bahawa syarikat-syarikat sektor swasta inilah yang menjadi nadi penggerak ekonomi negara. Mereka berada pada kedudukan yang baik untuk menjalankan aktiviti CSR dan kemapanan yang penuh bermakna dan signifikan,” katanya.

Turut hadir ialah Penaung CSR Malaysia, Tan Sri Faizah Tahir yang merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.  

Program ini dianjurkan oleh ‘CSR Malaysia’, yang merupakan inisiatif di bawah naungan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia.

Cek sumbangan berjumlah RM25 juta turut disampaikan oleh syarikat-syarikat korporat kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan dalam majlis yang sama.

Sumbangan oleh Ronald McDonalds House Charities
Sumbangan oleh Yayasan Bank Rakyat

Acara yang dihadiri seramai 400 personaliti korporat itu bukan sahaja meraikan kemapanan dan pencapaian CSR syarikat-syarikat cemerlang ini, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada syarikat lain untuk mencontohi mereka.

– THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES