JUST IN

Tahniah! Malaysia tutup aksi gemilang Sukan Komanwel dengan 7 emas

by | Aug 9, 2022 | Sports | 0 comments

Kontinjen Malaysia yang beraksi di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 boleh berbangga dengan pencapaian membawa pulang keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa yang akhirnya menutup tirai, semalam.

Pencapaian membanggakan bersempena bulan kemederkaan negara pada Ogos ini disambut baik kerana pada asalnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya meletakkan sasaran enam pingat emas sebagai merit untuk dicapai.

Pingat penutup dan juga emas terakhir telah dihadiahkan oleh gandingan beregu utama badminton wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah yang mudah menewaskan wakil pasangan tuan rumah, Chloe Birch-Lauren Smith dari England di Pusat Pameran Nasional (NEC) dengan jumlah mata 21-5, 21-8.

Lain-lain wakil negara yang telah menyumbang pingat emas ialah Mohamad Aniq Kasdan (Angkat Berat 55 kilogram lelaki); Muhamad Aznil Bidin (Angkat Berat 61 kilogram lelaki); Ng Tze Yong, Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M.Thinaah, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See (Badminton Berpasukan – Campuran); Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting 72 kilogram lelaki); Ng Joe Ee (Gimnastik – disiplin bola dan Gimnastik – disiplin riben).

Kejayaan atlet-atlet negara kali ini secara tidak langsung menyamai pencapaian Malaysia bagi edisi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dengan merangkul tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Secara keseluruhan, Malaysia turut memperbaiki kedudukan ke-12 di temasya empat tahun yang lalu apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-10 kali ini.

Australia pula unggul mempertahankan status mereka sebagai juara keseluruhan degan pencapaian 67 pingat emas, 57 perak dan 54 gangsa diikuti tuan rumah England 57 emas, 66 perak dan 53 gangsa. Kanada pula di tempat ketiga dengan 26 emas, 32 perak dan 34 gangsa.

-THE MALAYSIA VOICE