Satu lagi pembunuhan yang berlaku di bandar Albuquerque, Amerika Syarikat (AS) melibatkan pemuda beragama Islam pada Jumaat lalu kembali mencetuskan suasana tegang setelah pihak polis menyifatkannya berkemungkinan mempunyai kaitan dengan tiga lagi kes yang hampir sama.
Jabatan polis Albuquerque telah menemui mangsa terbaharu berhampiran pejabat Perkhidmatan Keluarga Lutheran yang menyediakan bantuan kepada pelarian. Mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an dan berasal dari Asia Selatan.
Presiden AS, Joe Biden dalam kenyataan di laman Twitternya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan di negeri New Mexico tersebut kerana percaya keempat-empat lelaki Islam itu merupakan mangsa kepada jenayah berkaitan.
“Saya marah dan sedih terhadap pembunuhan kejam empat lelaki Muslim di Albuquerque. Doa saya titipkan buat seluruh keluarga mangsa sementara kami menunggu siasatan penuh dilakukan. Pentadbiran saya berdiri teguh bersama komuniti Islam. Serangan kebencian tiada tempat di negara ini,” tulisnya.
Sementara itu, pasukan penyiasat polis Alburquerque yakin bahawa pembunuhan mangsa keempat turut mempunyai kaitan dengan pembunuhan tiga lelaki Muslim sebelum ini yang juga dari Asia Selatan.
Pada siri pembunuhan terdahulu, seorang mangsa adalah lelaki Islam berketurunan Pakistan berumur 27 tahun yang mayatnya ditemui pada 1 Ogos. Sebelum itu, mayat seorang lagi lelaki berumur 41 tahun pula dijumpai pada 26 Julai.
Ketiga-tiga pembunuhan terbaharu ini dipercayai polis berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang mangsa lelaki Afghanistan pada 7 November 2021 di luar premis perniagaan miliknya di Albuquerque.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah turut serta membantu siasatan bagi merungkai kesemua kes pembunuhan misteri tersebut.
-THE MALAYSIA VOICE