JUST IN

Tertuduh dibebaskan, misteri kes bunuh CEO Cradle Fund masih belum terjawab

by | Jun 21, 2022 | NATIONAL, NEWS | 0 comments

Kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, allahyarham Nazrin Hassan, nampaknya masih tergantung dan terus menjadi persoalan.

Hari ini, ketiga-tiga tertuduh iaitu balu allahyarham Nazrin, Samirah Muzaffar dan dua anaknya berusia 16 serta 19 tahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mendapati pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap kes di akhir kes pendakwaan.

Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan pihak pendakwaan sekadar membuat andaian berhubung ketiga-tiga tertuduh berada dengan mangsa ketika waktu kejadian iaitu antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018 di sebuah rumah di Mutiara Damansara sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Keputusan tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

“Kalau masa dijadikan alasan, alamat semua kes terlepas lah. Mana mungkin pendakwa tahu dengan tepat, sebab bukan dia yang bunuh. Saksi seperti polis dan bomba dah tentu berdasarkan laporan bila maklumat yang mereka terima,” kata Amirah Abaya.

“Kes kurang bukti dan keterangan. Kalau bibik Indonesia tu dapat dikesan, mesti dia ada informasi,” kata Muhammad Firdaus Abdullah.

Bibik yang dimaksukan, Eka Wahyu Lestari merupakan seorang warga Indonesia yang menghilangkan diri dan masih bebas, iaitu pembantu rumah keluarga mangsa yang disyaki turut bersubahat dalam pembunuhan berkenaan.

Pada tanggal 14 Jun 2018, Nazrin dilaporkan maut dalam kebakaran di kediamannya kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Polis bagaimanapun kemudiannya mengesahkan kes kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan pihak bomba serta laporan bedah siasat yang diperoleh.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES