JUST IN

Adibah Noor meninggal dunia akibat kanser

by | Jun 18, 2022 | THE GRAPEVINE | 0 comments

Penggiat seni tanah air, Adibah Noor Mohamed Omar telah pergi mengadap Ilahi malam ini.

Adibah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam sebentar tadi.

Penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu dikenali ramai kerana bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, malah turut menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan.

Berita pemergian allahyarhamah Adibah nyata mengejutkan ramai pihak yang menganggapnya berlaku begitu pantas dan secara tiba-tiba.

Lebih mengejutkan, Adibah merahsiakan penderitaan sakit yang dialaminya dengan hanya beberapa rakan dan ahli keluarga mengetahui perihal penyakit tersebut.

“Betul ke ni? Sedihnya. Dia idola saya. Artis yang sangat serba boleh dan penghibur sejati. Bersemadilah dengan aman di sana Adibah Noor,” tulis seorang peminat dikenali sebagai Lucy Liew di ruangan komen.

“Sakit rupanya dia. Allahuakbar. Patutlah nampak macam tak sihat dalam gambar baru-baru ni. Kepada yang mengata cakap dia buat pembedahan buang usus lah, tak comel sebab diet kurus lah, mesti menyesal. Baik minta maaf dan sedekah doa buat arwah,” kata Hafiz Saidin.

Pada 8 Jun iaitu sekitar 10 hari yang lalu, Adibah sempat memuat naik foto terakhir di laman Instagramnya dengan pakaian berona jingga ketika mengacarakan sebuah majlis.

Foto tersebut dihujani pelbagai komen warganet yang terkejut dengan penampilan terbaharunya yang kurus.

Jenazah allahyarhamah Adibah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai Kuala Lumpur, esok.

-THE MALAYSIA VOICE

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES