JUST IN

MRT Kuala Lumpur-Putrajaya tetap gagal, LRT sudah mencukupi

by | Jun 17, 2022 | Opinions | 0 comments

OLEH: NORMAN RADZUAN

Transit Aliran Massa (MRT) Kuala Lumpur-Putrajaya tetap gagal untuk elak ‘traffic jam’ di Kuala Lumpur (KL), percayalah. Di negara kita bukan masalah pengangkutan awam tetapi mentaliti orang awam. Selagi tiada stesen MRT di depan rumah, mereka akan beri seribu alasan kenapa menolak menggunakannya.

Tidak perlu saya bicara dengan lanjut kerana dalam isu sebelum ini, saya telah bicarakan panjang lebar. Kita sudah ada pelbagai laluan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel, MRT, komuter, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Express Rail Link (ERL). KL tetap menjerit.

Malah perancangan Putrajaya untuk mengurangkan kesesakan di KL juga tidak berjaya. Menggalakkan perkongsian kenderaan juga gagal. Ini semua soal mentaliti.

Oleh itu, penyelesaian selepas ini bukan lagi membina projek berbillion ringgit untuk pengangkutan awam. Tetapi belanja jutaan ringgit untuk mengubah mentaliti orang awam atau masyarakat Lembah Klang.

Kita mesti ingat, jumlah kenderaan yang didaftarkan lebih banyak dari jumlah rakyat Malaysia sendiri. Setiap tahun, kenderaan semakin bertambah. Jadi apa penyelesaian isu ini?

Jika mendidik tidak berjaya, pendekatan lain terpaksa digunakan seperti ‘kekerasan’ tapi bukan caranya dengan menghapuskan kenderaan berusia 10 tahun.

Ia perlukan pendekatan seperti parkir kereta yang mahal atau gunakan kaedah seperti negara jiran Singapura (mereka memperkenalkan caj jalan bagi menangani kesesakan lalu lintas).

Pada awalnya, tentulah rakyat Lembah Klang marah. Tetapi lama-kelamaan, apabila dibudayakan dan mereka dapat melihat impak positif, mereka akhirnya akan bersetuju.

Macam dulu, wajibkan pakai tali pinggang keledar dan wajibkan pemasangan lampu motosikal pun ditentang. Akhirnya ramai yang patuh dan dapat melihat ia sesuatu yang baik untuk mereka.

Jangan lupa pendekatan psikologi kempen di media perdana agar rakyat mesti berjalan 10,000 langkah sehari.

Disebabkan rakyat Malaysia malas berjalan yang menjadi punca sebenar mereka tidak mahu gunakan pengangkutan awam. Bagi mereka, berjalan kaki 1 kilometer dari stesen MRT ke pintu pejabat tersangat jauh.

Kadang-kadang, kita berasa hairan orang merungut kesesakkan jalan di KL, sedangkan dia sendiri merupakan penyumbang kepada kesesakkan tersebut. Jika penduduk Lembah Klang ada 5 juta, yang menggunakan kenderaan sendiri tentulah sesak jalan KL.

Jadi apa yang nak dirungutkan? Ibarat sendiri melalak berkaraoke di dalam rumah hingga anak kecil tidak dapat tidur, disalahkan pula nyamuk yang bising.

Sila proaktif segera kerana Kuala Lumpur kini bandar raya yang sakit.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES