JUST IN

Malaysia garang benam Bangladesh sekaligus layak ke Piala Asia 2023

by | Jun 15, 2022 | Sports | 0 comments

OLEH: AXELLO TACTS

Malaysia bertemu dengan Bangladesh dalam aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2023 – bagi aksi kumpulan E. Malaysia berusaha untuk layak ke Piala Asia secara merit dan memerlukan keputusan positif daripada perlawanan yang dianggap ‘winnable’.

Kim Pan Gon membuat perubahan pada posisi penjaga gol dengan menurunkan Syihan Hazmi menggantikan Farizal Marlias.

Bermula dari wisel permulaan, Malaysia terus beraksi dengan tempo tinggi. Pada minit ke-4 Corbin Ong melakukan tandukan yang tersasar.

2 minit kemudian, Corbin Ong yang memberikan ancaman dari awal, telah melakukan hantaran. Berlaku pergelutan ketika Bangladesh cuba mengeluarkan bola. Dan Syafiq Ahmad mendapat peluang keemasan. Leretan Syafiq Ahmad yang disilangkannya telah terkena tiang.

Pada minit ke-11, Faisal Halim mengangkat bola ke dalam kotak penalti, Safawi cuba melakukan aksi spektakular dan melibas bola. Malangnya bola tersasar sedikit.

Pada ke-15 Bangladesh bermain dengan alpa, apabila mereka cuba bermain ‘bola sepak mahal’ dengan bertukar hantaran dalam kotak penalti.

Matthew Davies yang melakukan tekanan berkesan telah diterjah Atiqur Rahman Farhad dan memenangi penalti.

Penyerang sensasi, Safawi Rasid langsung tiada masalah menewaskan penjaga gol untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Selepas bersambung, Safawi melakukan satu percubaan jarak dekat namun diselamatkan penjaga gol. Davies melakukan ‘half volley’ susulan yang sedikit tersasar.

Bangladesh kemudian mengejutkan Malaysia apabila membalas gol Safawi Rasid pada minit ke-31, menerusi Mohammad Ibrahim yang belari masuk ke dalam kotak penalti, tanpa dikawal mana-mana pemain.

Bangladesh ternyata memberikan ancaman menerusi lontaran ke dalam Bishawanath Ghosh.

Tersentak dengan gol itu, Dion Cools dan Safawi Rasid masing masing cuba mencari gol kedua. Safawi menerima bola dalam kotak penalti dan rembatannya dihadang.

SNBJ kembali bergema dengan sorakan penyokong apabial Dion Cools menjaringkan gol pertamanya untuk Malaysia pada minit ke-38. Itu juga gol yang meletakkan Malaysia kembali di hadapan.

Syafiq Ahmad sekali lagi melakukan percubaan bahaya menerusi tandukan yang diselamatkan penjaga gol.

Separuh masa pertama berakhir dengan Malaysia 2 Bangladesh 1.

SEPARUH MASA KEDUA

Bersambung babak kedua, pada minit ke-47, kapten Harimau Malaya dalam perlawanan ini, Syafiq Ahmad tidak menunggu lama untuk meletakkan Malaysia 2 gol di hadapan buat pertama kalinya. Di mana pemain tersebut menggunakan kepakarannya, apa lagi, kalau bukan dengan kepalanya.

Malaysia meneruskan dominasi mereka daripada rentak separuh masa pertama.

Pada minit ke-57, Syihan bekerja keras untuk menafikan percubaan jarak dekat oleh pemain gantian Foysal Sahim yang menyambar bola di hadapannya. Mujur juga penjaga gol Harimau Malaya itu tak mengalami kecederaan.

Malaysia terus menguasai perlawanan dan menggandakan lagi asakan dan hasilnya, pada minit ke-73, Darren Lok akhirnya melengkapkan kempen antarabangsanya yang cemerlang kali ini dengan gol.

Lok dengan mudah menolak bola ke gawang yang terbuka dan ternganga di hadapannya.

Pada minit ke-78, Syamer Kutty Abba mendapat peluang keemasan di hadapan gol. Tetapi tandukan lantunnya tidak menerjah gawang. Idea yang baik cuma penyudah yang tidak tepat.

Seminit kemudian, giliran Akhyar Rashid pula mengancam gawang Bangladesh dengan tandukan yang terkena palang.

Tamat perlawanan, Malaysia 4 Bangladesh 1.

Ianya kemenangan yang profesional dilakukan Malaysia. Ataupun, kemenangan yang sepatutnya terjadi dan dilaksanakan dengan sebaiknya. Walaupun masih perlu memperbaiki fokus ketika bertahan selepas menjaringkan gol.

Syabas Malaysia! Mara ke Piala Asia 2023. Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah pada 2007 – ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah bersama. Dan ini adalah kali keempat Malaysia berjaya beraksi di pusingan akhir Piala Asia.

Secara merit, bukan menerusi slot hos kejohanan, kali terakhir Malaysia mara ke Piala Asia daripada kelayakan adalah pada 1980. Itu adalah 42 tahun yang lalu.

** Axello merupakan penulis dan pengulas sukan bebas tempatan

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES