JUST IN

Pentingnya atlet Malaysia letakkan roh dan jiwa untuk negara

by | Jan 23, 2022 | Opinions | 0 comments

OLEH: AZIZULHASNI AWANG

Ada apa dengan sukan? Di awal penghijrahan saya ke Melbourne, saya pernah mendapat tawaran daripada pasukan Professional Drapac (lebuh raya). Siapa tidak kenal pasukan Uci pro conti itu yang pernah dianggotai oleh dua pelumba lebuh raya handalan negara iaitu Adiq Husaini dan Amir Mustafa.

Pengasas pasukan tersebut iaitu Michael Drapac sendiri yang mengutarakan idea kepada John Beasley untuk meminang saya untuk pasukan beliau sebagai pemecut kerana beliau nampak kebolehan saya di trek dan juga di lebuha raya.

Selepas berbincang dengan John Beasley saya akhirnya menolak dengan baik tawaran tersebut. Kenapa saya tolak? Sambung baca dulu.

Bukan sahaja di atas kecemerlangan dan konsistensi di persada antarabangsa dalam acara Keirin, tetapi juga kerana corak perlumbaan saya yang penuh taktikal dan gemar ditonton peminat tegar basikal trek, saya beberapa kali diberikan tawaran oleh Japanese Keirin Association (JKA) untuk berlumba Keirin di sana.

Penuh dengan tradisi, saya di berikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cop mohor, mengagumkan.

Menjadi cita-cita setiap pelumba Keirin untuk dipilih dan berlumba disana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan jika berlumba di siri perlumbaan di sana.

Selepas mengambil sedikit masa, saya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut dengan penuh hormat. Oleh sebab itu, mereka meminta saya untuk maklumkan apabila saya telah bersedia kerana mereka ingin menjemput kembali. Belum pernah berlaku.

Kenapa saya tolak? Sambung baca dulu.

Saya juga banyak kali ditawarkan untuk berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti ‘Six-day track series’ yang terkenal di benua sana dan mendapat liputan penyiaran antarabangsa tetapi juga saya tolak. Kenapa?

Semua ini adalah kerana saya mengutamakan tanggungjawab saya kepada pasukan negara tercinta.

Andai kata saya memilih peluang-peluang tersebut, sudah tentu ianya akan memberikan banyak kelebihan kepada diri dan karier saya.

Akan tetapi ianya akan mengganggu perancangan dan persiapan untuk kejohanan-kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara.

Saya sedia maklum yang Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada di mana saya telah berada pada hari ini.

Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali (giving back) kepada masyarakat dan juga negara tercinta. Demimu, Malaysia.

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)