JUST IN

PM umum strategi kerajaan siap siaga hadapi banjir di masa akan datang

by | Jan 20, 2022 | National, News | 0 comments

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan mengenai situasi bencana banjir pada penghujung tahun 2021 dalam Dewan Rakyat, pada pagi tadi.

Menurutnya, agensi yang bertanggungjawab telah diarahkan supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Ke-2 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jelas Ismail, ia meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.

“Dalam masa sama, kaedah hebahan kepada orang awam perlu ditambah baik agar amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir benar-benar berkesan.

“Misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, ‘push notification’ melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ismail, penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial.

“Cara penyediaan makanan untuk mangsa banjir juga perlu diubah dengan penggunaan teknologi ‘retort’ ataupun makanan sedia dimakan kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.

“Bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dan pengurusan bencana diselaraskan berjalan dengan lancar, pengerusi dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat perlu mahir dan memainkan peranan masing-masing selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara nombor 20,” ujarnya.

Ismail turut berpendapat bahawa sudah tiba masanya peranan dan sumbangan organisasi masyarakat sivil (CSO) diperkasakan dan dialu-alukan penglibatan mereka dalam pengurusan bencana.

“Penglibatan CSO secara terselaras dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas.

“Terima kasih barisan hadapan, CSO dan seluruh Keluarga Malaysia yang bersama-sama membantu mangsa banjir di seluruh negara,” katanya.

-THE MALAYSIA VOICE