JUST IN

Punca sebenar kenapa Pakatan Harapan ditolak rakyat

by | Jan 11, 2022 | NATIONAL, NEWS | 0 comments

OLEH: NORMAN RADZUAN

Ketika di Kuala Lumpur sekarang ini, hampir saban malam saya menerima tetamu untuk berbicara dari pelbagai pihak samada dari parti sendiri yang pelbagai pendirian, rakan parti komponen dan rakan parti lawan.

Kadang2-kadang saya rasa gembira kerana diterima oleh kawan dan lawan untuk berbicara. Ia sangat profesional. Antara topik yang sering dibicarakan tentulah kenapa Pakatan Harapan (PH) ditolak?

Kebanyakan mereka bertanya, mereka memberikan jawapan sendiri. Kata mereka dalam bahasa lembutnya, Anwar perlu mencari pengganti atau dalam maksud lainnya Anwar sudah tidak relevan. Ada yang kata kena berikan kepada nama-nama tertentu di dalam parti dan sebagainya.

Tapi jawapan saya kepada mereka, Anwar masih relevan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Bukan membodek, tetapi saya tidak nampak pelapis yang benar-benar mampu mengambil tugas tersebut. Ya, selepas itu (PRU16) jika beliau gagal untuk membawa kemenangan kepada PH, Anwar sudah boleh meletakkan calon penggantinya atas faktor usia.

Kenapa saya kata beliau masih relevan? Jika pernah berbicara empat mata atau di meja bulat, anda akan tahu betapa tajam pemikiran politiknya. Cuma Anwar mendapat tentangan hebat dari segala penjuru kerana prinsip politiknya yang tegas kepada isu rasuah.

Yang pihak mengatakan beliau tidak relevan adalah Mahathir iaitu individu yang paling takut jika Anwar menjadi Perdana Menteri (PM). Siapa lagi selain Mahathir? Anak beliau Mukhriz.

Mukhriz mengatakan masa Anwar sudah berlalu. Atas dasar apa beliau berkata demikian? Usia. Bapanya jauh lebih tua ketika menjadi PM kali kedua. Muhyiddin ketika menjadi PM berusia 72. Tak pernah berbangkit soal usia.

Tak mengapalah. Muhkriz jika menyokong Anwar, tentulah kita pelik sebab dia anak Mahathir. Tetapi yang pelik apabila ada pimpinan parti komponen PH yang senada.

Tanya saya dalam perbualan bersama dengan beberapa rakan, saya tegas mengatakan punca PH menjadi lemah kerana Mahathir telah melemahkan PH dari dalam. Hingga rakyat melihat PH tidak berpegang kepada janji.

Malah Mahathir walaupun telah meninggalkan PH, beliau dilihat seolah-olah telah cuba pecah dan perintah terhadap PH sehingga ada segelintir pimpinan dari DAP dan Amanah terpedaya dengan helah Mahathir.

Punca PH ditolak? Bukan kerana Anwar.

Pergilah buat kaji selidik di lapangan di kalangan orang-orang Melayu. Daripada kaji selidik saya dan daripada pandangan rakan-rakan media yang mereka maklumkan kepada saya, pengundi Melayu menolak PH 80% kerana DAP, dan 10% kerana Anwar serta 10% lagi kerana faktor-faktor penyumbang yang lain.

Jadi saya katakan, sangat menyedihkan apabila segelintir pimpinan DAP dan segelintir pimpinan Amanah seolah-olah bersetuju untuk PH mencari ‘ketua’ yang baru.

Kononnya penolakan rakyat kepada PH kerana faktor Anwar. Itu tidak benar sama sekali dan mengapa mudah diperdayakan oleh Mahathir?

Pimpinan DAP perlu sedar diri orang Melayu menolak PH kerana DAP. Ini fakta, bukan andaian. Tapi kenapa tuding jari pada org lain? Dalam keadaan begitu, tetap Anwar tidak pernah mengkritik DAP. Anwar tak pernah kata DAP liabiliti PH untuk menarik undi Melayu.

Yang selalu saya dengar, Anwar mahu PH perkukuhkan permuafakatan ini. Tak pernah beliau secara terbuka menyalahkan DAP atau mahu mengajak PH meninggalkan DAP.

Pimpinan PH kena sedar bagaimana Najib yang menghadapi tuduhan rasuah berbilion ringgit, imejnya kembali melonjak. Malah UMNO kembali pulih walaupun pemerintahan mereka penuh dengan korupsi.

Jadi adalah lebih baik kita lupakan soal mencari salah siapa atau mahu khemah besar. Duduk semeja dan tolak anasir luar yang sengaja ingin kita berpecah.

Jangan ambil jalan pintas dan mudah salahkan orang itu dan ini.

Buat kerja, ambil posisi parti masing-masing. PKR kawasan Melayu bandar, Amanah kawasan luar bandar dan DAP fokus kepada pengundi Cina. UPKO rakan baru pula fokus kepada pengundi Sabah.

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES