JUST IN

Peminat tempatan teruja nantikan aksi dua pelakon kelahiran Malaysia dalam filem Shang-Chi

by | Sep 23, 2021 | National, News | 0 comments

Tempoh empat bulan ‘lockdown’ di Malaysia sejak Jun lalu menyaksikan industri kreatif tempatan antara yang turut menerima tempiasnya.

Selain aktiviti penggambaran filem dan drama, panggung wayang juga tidak dibenarkan beroperasi.

Serentak dengan tempoh itu, filem-filem antarabangsa nampaknya tidak berdepan masalah ditayangkan di negara-negara lain dengan layar perak tetap dibuka seperti biasa.

Susulan keadaan Covid-19 yang nampaknya semakin pulih di Malaysia, akhirnya industri kreatif kini kembali dibenarkan beroperasi. Panggung wayang juga antara yang kembali dibuka.

Meskipun telah ditayangkan terlebih dahulu di negara-negara lain, tinjauan The Malaysia Voice mendapati peminat-peminat tempatan nampaknya tetap teruja untuk menyaksikan buah tangan baharu Marvel Studios – Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

Filem ini bukan sahaja dianggap sebagai tunjang bagi permulaan fasa baharu ‘superhero’ Marvel, malah barisan karakternya yang menampilkan dua pelakon kelahiran Malaysia turut menjadi faktor tarikan peminat-peminat tempatan tidak sabar untuk menyaksikannya.

Meskipun hanya sekadar watak sampingan, gandingan aktres veteran, Michelle Yeoh dan aktor baharu yang semakin menyinar, Ronny Chieng, dianggap penyeri yang melengkapkan karya filem terbitan Destin Daniel Cretton ini.

Kedua-dua mereka sebelum ini juga pernah membintangi filem Crazy Rich Asians yang ditayangkan pada tahun 2018.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, antara yang memberi respons memuji Ronny Chieng setelah dia dilihat tidak lupakan asal usulnya berkelahiran Malaysia dan dari Johor Bahru, di dalam video promo filem Shang-Chi, baru-baru ini.

Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings bakal ditayangkan di Malaysia pada 7 Oktober depan.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES