OLEH: DR. RAFIDAH ABDULLAH
Saya kecewa dengan manusia yang mengelirukan masyarakat Malaysia tentang nasihat kesihatan terutamanya Covid-19. Dari nasihat vaksin, ivermectin, produk-produk sampah dan yang memilih-milih rawatan. Ramai pula ‘pakar’ yang mengalahkan pakar sebenar.
Saban hari kami melihat kesengsaraan di hospital. Ramai yang datang tenat. Tidak mengikut saranan kami untuk vaksin. Tapi bila tenat, tuntut hak konon. Ya, memang kami tidak boleh memilih pesakit mana yang kami nak rawat. Itu memang tugas kami.
Tapi tahukah anda?
SEBAB ANDA lah: ramai yang tidak dapat katil ICU. Bagaimana dengan pesakit-pesakit muda yang memerlukan rawatan-seperti leukaemia, contohnya?
SEBAB ANDA lah: banyak hospital yang belum pulih memberi rawatan seperti biasa – pembedahan kanser, contohnya.
Tiada sesiapa MEMAKSA anda datang jumpa kami di hospital bila dah menggelupur sesak nafas atau tidak sihat. Dah masuk hospital, jangan pilih-pilih ini nak, itu tak nak.
Saya senang sahaja, jika itulah rawatan yang patut diberi mengikut fakta (contohnya bantuan pernafasan dan ditidurkan bila kandungan oksigen rendah disebabkan rosak paru-paru dimamah Covid-19), tapi anda tidak mahu: silalah anda KELUAR dari hospital. Mungkin ada doktor atau ‘doktor’ lain yang boleh merawat lebih baik, di tempat lain.
Jangan nak mengarut berkata anda sihat jika kandungan peratus oksigen anda rendah. Inilah namanya HAPPY HYPOXIA.
Sebab itu pengamal perubatan penat lelah melakukan ‘video call’ antara ahli keluarga dan pesakit. Sebab kami tahu, itu mungkin kali terakhir anda ‘BERJUMPA’ dengan ahli keluarga anda.
Kepada puak-puak anti vaksin,
Tidak mengapalah kalau tidak mahu vaksin pun. Kami akan menunggu anda di muka Jabatan Kecemasan semasa anda menggelupur sesak nafas. Hati suka dan suka hati.
Sekarang dah mula dah pun. Tidak ada masalah. Kami tidak akan kata kami ada HAK MEMILIH semasa itu. Kami akan dekat dengan anda, dengan PPE. Semuanya kami bagi rawatan, setakat mana yang mampu.
Yang tidak tahu apa-apa, jangan campur tangan. Jangan nak meracuni fikiran orang lain. Teruskan duduk dalam GUA. Senyap-senyap.
Siapakah pembunuh yang sebenar?
Saya hanya mampu melihat dengan perasaan kecewa.
-THE MALAYSIA VOICE
(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)