JUST IN

Begini caranya dapatkan stok Roti Gardenia Pandan Kelapa viral

by | Sep 8, 2021 | National, News | 0 comments

Sejak beberapa minggu lepas, riuh di pelbagai media sosial tentang keluaran produk baharu milik syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd yang semakin laris di pasaran.

Produk yang dimaksudkan iaitu Toast’em Pandan Kelapa, tiba-tiba melonjak naik dan menjadi buruan dalam kalangan komuniti disebabkan faktor rasa keenakannya yang tersendiri, dekat di hati masyarakat Malaysia.

Malah tidak kurang juga lucunya, ramai yang mendakwa bahawa mereka ditipu gara-gara silap terbeli roti putih biasa.

Hal ini kerana balutan pada label kecil bungkusan roti putih yang bertulis ‘Serba Baharu Pandan Kelapa’ dikatakan telah mempengaruhi mata pelanggan sehingga menimbulkan kekeliruan.

JUMPAKATMAHKAMAH.com dalam hantarannya di Facebook menulis, “Kenapa Gardenia buat macam ni?  Seksyen 10 Akta Perlindungan Pengguna 1999 menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk membuat representasi palsu atau mengelirukan pengguna.

“Seksyen 13 juga melarang pengiklanan umpanan terhadap pengguna jika penjual tidak berniat untuk menawarkan bekalan tersebut.

“Letak label begini sudah tentu ramai yang terkeliru dan menganggap roti dalam tu adalah pandan kelapa!” tulisnya.

Namun, ramai pula yang membidas dengan mengatakan bahawa teknik promosi dan pemasaran sebegitu adalah identiti yang telah lama digunakan Gardenia dan ia bukanlah salah pihak pengeluar sebaliknya kesilapan pengguna sendiri kerana tidak teliti.

“Jenis tak faham pengiklanan memang akan mudah tertipu. Sebelum beli digalakkan membaca dahulu. Tiada pun isu terpedaya sebenarnya.

“Terang-terang ada logo baru jenama Toast’em dari Gardenia terpampang. Siap ada gambar bentuk rupa roti dan bungkusan roti warna hijau ditunjukkan. Itu pun boleh terpedaya ke? Kesian. Kalau lapar pun, sebelum beli semak dan baca dahulu,” komen Zaki Rahman.

Dengar cerita, ramai yang kecewa kerana sukar mendapatkan produk baru ini gara-gara selalu kehabisan stok. Rasa simpati juga apabila ada ahli keluarga lain yang mengidam. Jangan risau, kami kongsikan tip untuk anda dapatkannya:

  • Berharga RM4.70 sebungkus
  • Roti Pandan Kelapa ini hanya diagihkan daripada lori-lori Gardenia ke kedai-kedai pada hari Rabu dan Sabtu sahaja
  • Rangkaian kedai Speedmart tiada roti ini, memandangkan ia hanya dijual di kedai runcit dan stesen minyak sahaja
  • Tanya waktu lori roti biasanya sampai daripada tauke kedai. Kalau dah rapat atau kenal, boleh juga ‘kawtim’ minta simpankan bagi pihak anda

Selamat membeli!

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES