JUST IN

Ambil iktibar dan contohi cara Jepun hormati masa

by | Sep 6, 2021 | News, Opinions, World | 0 comments

OLEH: ZUNITA RAMLI

Rasanya ramai tahu yang bangsa Jepun adalah bangsa yang sangat pentingkan masa.

Bayangkan untuk negara yang kerap berlaku bencana alam macam gempa bumi, tsunami dan sebagainya, purata kelewatan kereta api laju shinkansen hanya 30 saat sahaja!

Jadi tak hairanlah masa Tsukuba Express bertolak awal 20 saat satu ketika dulu ia menjadi satu isu yang sangat besar sehinggakan mereka terpaksa membuat permohonan maaf secara rasmi di akhbar dan media yang lain.

Ya, bertolak awal 20 saat saja pun, dah jadi isu besar.

Kepentingan menepati masa ini bukan saja membabitkan pengangkutan awam, tapi semua yang lain juga. Mereka adalah bangsa yang ‘takut’ kalau terlewat sampai mesyuarat dan sebagainya.

Tapi mungkin ramai yang tak tahu sebenarnya Jepun ini bukanlah bangsa yang menepati masa sejak dari dulu.

Dulu masa pemerintahan Shogun, orang Jepun dikatakan tak menepati masa. Tapi, ada sebab untuk itu sebenarnya. Sistem masa tak standard menyebabkan masa sukar untuk diseragamkan.

Mereka guna cara tradisional untuk tentukan masa macam bakar api untuk dapatkan idea minit, jam atau hari dengan kadar pembakaran tertentu.

Cara macam ni susah dan tak berapa nak dipercayai, kan?

Sebab tu masa zaman Edo sekitar tahun 1603-1868, ramai pedagang Eropah yang merungut orang Jepun lambat dan tak tepati masa.

Tapi lepas kejatuhan Shogun, permulaan era pemodenan Jepun iaitu masa zaman Revolusi Meiji (1868-1912), masa zaman inilah kerajaan Jepun adaptasi sistem barat dan guna sistem jam mekanikal yang ada sekarang.

Sistem masa diseragamkan dan orang Jepun diajar untuk hormati dan hargai masa. Benda ini sangat berjaya mengubah Jepun dan seterusnya membawa Jepun menjadi negara maju seperti sekarang.

Kenapa masa sangat penting?

Bayangkan hanya lewat lima minit, atlet paralimpik kita, Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas dan terlepas untuk pecah rekod dunia. Hanya lewat lima minit, beliau terlepas ganjaran menang emas sebanyak RM1.12 juta.

Ya, itu nilai lima minit.

Tak perlu tuding jari pada sesiapa. Ianya satu benda yang pada saya, kita semua perlu ambil pengajaran untuk diperbaiki di masa akan datang insya-Allah!

Apa-apa pun tahniah kepada atlet kita, Ziyad Zolkefli. Walau apa pun, anda tetap juara di hati kami.

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES