OLEH: NORMAN RADZUAN
Anak-anak kita lebih memerlukan pekerjaan dari warga asing. Siapa kata mahasiswa dan mahasiswi pilih kerja?
Ketika era Pandemik Covid-19 ramai warga tempatan diberhentikan kerja atau tiada peluang pekerjaan. Banyak syarikat-syarikat besar dan kecil tutup.
Jadi inilah masanya kerajaan bertindak agresif dengan formula mudah bagi membuka peluang pekerjaan untuk warga tempatan ketika era pandemik ini.
Di Kuala Lumpur dan Selangor sektor perhotelan, perkilangan, buruh kasar malah sehingga kedai serbaneka seperti 7-Eleven, KK Super Mart dan makanan segera seperti McDonalds, KFC dan lain-lain dikuasai oleh warga asing.
Ia satu perkembangan yang tidak sihat. Ini kerana kita bukan kekurangan warga kerja tetapi kekurangan peluang pekerjaan.
Jika termasuk sektor pelandangan di luar bandar, kesemua sektor tersebut dipenuhi hampir 2 juta pekerja warga asing.
Kecuali pekerja buruh kasar di sektor pembinaan dan pelandangan, masih boleh dikekalkan kerana kedua-dua bidang ini kurang diminati oleh warga tempatan tetapi sektor lain boleh diisi warga tempatan.
Siapa kata mahasiswa dan mahasiswi kita memilih kerja? Saya sendiri sejak 2014 telah memberikan peluang kepada lebih 600 pelajar-pelajar IPT dari pelbagai IPTA bekerja.
Malah jika kita melihat di pusat beli belah di seluruh negara di era 80 atau 90-an, hanya mereka yang lulusan SRP atau SPM yang bekerja di situ kini ia dipenuhi oleh graduan univesiti. Malah di restoran biasa juga dipenuhi warga graduan.
Saya masih ingat di era remaja saya. Hotel, McDonaldS, KFC, A&W dan 7-Eleven adalah tumpuan untuk lepasan SPM atau pelajar IPTA bekerja secara ‘part time’ di situ. Kini di Kuala Lumpur 80% ia dikuasai oleh warga asing. Ia sangat mendukacitakan.
Selain anak tempatan tiada sumber pendapatan, aliran wang kita mengalir keluar negara. Masalah sosial juga semakin kritikal. Lihat sahaja warga asing yang bekerja di Petaling Street, Kota Raya dan Low Yat. Mereka ada yang berlagak samseng kepada warga tempatan.
Pengambilan tenaga buruh asing untuk masuk ke dalam negara perlulah diatur semula secara sistematik khususnya dalam tiga aspek utama iaitu ekonomi, politik dan sosial. Apatah lagi era pandemik ini.
Saya akui sebagai orang berniaga, mengambil pekerja asing kurang pening kepala. Berbanding warga tempatan yang kurang disiplin dan sering berpindah kerja. Selain itu upah tenaga kerja yang murah kepada mereka.
Tetapi bagi saya untuk tempoh 5 tahun ini sementara ekonomi kembali pulih, anak-anak tempatan pasti akan berubah sikap. Fitrah manusia apabila terdesak mereka akan berubah.
Penggunaan pekerja warga asing hanya memudahkan dan mengkayakan tauke-tauke besar berniaga. Sepatutnya kerajaan dan majikan (tauke besar) mesti ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat tempatan.
Sepatutnya di sektor perkilangan diwajibkan kuota 60% pekerja di sektor itu adalah warga tempatan. Istilah ‘minah kilang’ di era 80-an dan awal 90-an itu sudah tidak popular. Istilah itu cuba menggambarkan wanita yang tidak berkelulusan tinggi, bukan lagi ukuran kerana ramai graduan kita sanggup bekerja di sektor tersebut.
Isu kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia, masyarakat tempatan mulai sedar akan tanggungjawab dan hak mereka. Peluang pekerjaan selama ini yang terbuka di hadapan mereka hanya dipandang remeh akibat terlalu memilih pekerjaan.
Oleh itu, apa yang diperlukan ialah perubahan minda pekerja tempatan. Dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat dan peluang pekerjaan yang semakin terbatas.
Sayang prasarana seperti LRT, monorel, bas percuma di Kuala Lumpur digunakan warga asing sedangkan tujuannya untuk kemudahan dan keselesaan orang-orang kita.
Tidak dinafikan bahawa kebanyakan masyarakat kita agak memilih pekerjaan terutamanya dari segi kerja-kerja 3D (Dirty, Dangerous and Demanding).
Oleh kerana itu, kerajaan hanya perlu isi pekerjaan tersebut dengan warga asing.
Setakat bekerja di ‘mall’, kedai minyak, hotel, kilang, McDonalds, KFC, Starbucks, 7-Eleven ia mampu dilakukan dan diisi oleh anak-anak tempatan. Ia perlu tindakan segera dan tegas kerajaan.
Menjelang 2023, pastikan kuota sektor disebutkan tadi dipenuhi 70% warga tempatan. Ini kerana ekonomi negara akibat pandemik ini, memakan masa 6 hingga 10 tahun untuk pulih sepenuhnya.
Anak-anak dan cucu-cucu kita perlukan pekerjaan tersebut, apatah ibu bapa mereka sendiri sudah hilang sumber pendapatan.
Akhir kata dan sebelum terlupa, dalam perkhidmatan pengawal keselamatan saya setuju ia dipenuhi oleh warga Nepal dan Bangladesh.
Ini kerana mereka lebih disiplin, kemas dan bertanggunjawab. Berbanding pengawal keselamatan tempatan kebanyakan warga pencen, tidur waktu bertugas, pakaian tidak kemas, melepak dengan kawan-kawan dan sebagainya.
-THE MALAYSIA VOICE
(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)