JUST IN

Tular dakwaan darah tercemar selepas divaksin mengarut

by | Aug 26, 2021 | National, News | 0 comments

Pelbagai teori dan dakwaan tentang keburukan vaksin Covid-19 nampaknya semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat sehinggakan ia kini nampaknya boleh mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

Lebih-lebih lagi, perlakuan tidak bertanggungjawab sebegitu yang menular di dalam dunia siber yang menyaksikan sesuatu khabar angin dan mesej berantai disebarkan dengan lebih pantas terutamanya di platform media sosial seperti Facebook serta aplikasi WhatsApp.

Sebuah hantaran yang berasal dari laman Facebook bernama Ansar Muhajirin baru-baru ini telah mendapat perkongsian meluas berikutan dakwaan kononnya perubahan darah oleh individu yang mengambil vaksin Covid-19 dapat dilihat selepas mereka melakukan bekam.

Menurutnya, individu yang mengambil vaksin Sinovac akan bertukar darahnya seperti nanah manakala Pfizer pula akan bertukar darah seperti air kencing.

Namun, dakwaan itu dianggap mengarut dan telah disangkal oleh Pengasas Root of Science and TheDiagnosa, Dr. Latif Saad berdasarkan fakta sains.

Jelasnya, darah sebenarnya dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu plasma dan juga bahagian darah.

“Selalunya kalau kita ambil darah dan campur dalam tabung uji, darah itu akan mendap dan menghasilkan bahagian plasma di bahagian atas yang selalunya berwarna kuning seperti ‘air kencing’ dan juga bahagian bawah berwarna merah iaitu mempunyai sel darah merah.

“Terkadang jika terlampau banyak lemak di dalam darah, ia akan menjadikan plasma itu berwarna kuning seperti nanah.

“Sebenarnya warna kuning itu adalah lemak. Selalunya petugas makmal akan gambarkan ia sebagai ‘lipaemic sampel’ disebabkan terlalu banyak lemak,” katanya.

Tambah Latif, sampel darah yang ditunjukkan selepas bekam itu sebenarnya adalah sampel darah yang normal.

“Kalau orang tak vaksin pun akan menghasilkan keputusan yang sama. Ia tiada kaitan dengan vaksin sebenarnya. Mohon jangan terpedaya dengan individu tidak berkelayakan,” ujarnya.

-THE MALAYSIA VOICE

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES