JUST IN

Surat arahan letak jawatan dalam tempoh 48 jam UMNO tidak sah?

by | Aug 7, 2021 | Opinions | 0 comments

OLEH: SIMUNJAN SIMUN

Surat daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada semua Ahli Parlimen UMNO untuk menyatakan pendirian peletakan jawatan dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh 48 jam adalah tidak sah dan bertentangan dengan perundangan.

Justeru, kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan surat tersebut adalah berasas dan tepat. Semua Ahli Parlimen UMNO mempunyai opsyen terbuka sama ada bertindak untuk menjawab ataupun tidak.

Dalam situasi ini, Presiden UMNO perlu ada keberanian (courage) untuk berjumpa dengan semua Ahli Parlimen UMNO bagi mendapatkan pendirian dan kecenderungan sokongan mereka.

Tapi, ini tidak berlaku hingga sekarang.

Sebenarnya, tidak termaktub dalam Perlembagaan UMNO untuk Ahli Parlimennya akur kepada surat sedemikian. Tindakan Setiausaha Agung dilihat lebih dipengaruhi oleh emosi dan arahan daripada Presiden UMNO.

Apa tidaknya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih pentingkan kes mahkamah beliau dan bukannya menyatukan UMNO. Lantas, beliau berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan PN agar bebas daripada hukuman yang bakal dihadapi nanti jika disabitkan dalam kes mahkamah.

Jika Kerajaan PN tumbang, akibat daripada penarikan sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN, situasi ini akan memberi banyak kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kuasa.

Cukuplah dengan 22 bulan derita dan kepayahan pemerintahan PH.

UMNO perlu sedar dan bangkit serta merapatkan saf menyokong Perdana Menteri dan kerajaan PN agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Kekalkan sokongan kepada beliau dan kerajaan PN hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilaksanakan.

Ingatlah, rakyat sedang resah dengan pandemik COVID-19 dan kelangsungan hidup.

Jangan rakyat dibebankan lagi oleh tindakan Presiden UMNO yang sedaya upaya mahu menjatuhkan kerajaan PN.

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES