JUST IN

Jangan ditekan emosi rakyat yang semakin terhimpit

by | Aug 5, 2021 | Opinions | 0 comments

OLEH: AFANDY SUTRISNO TANJUNG

Masyarakat sebenarnya tengah marah. Tapi nak marah pun tak tahu nak salur di mana.

Ramai yang tak berpuas hati kerana kebanyakannya apabila hukuman kepada yang marhaen ini, cepat sahaja tindakan diambil walaupun kalau difikirkan tindakan tersebut mungkin boleh dibudi bicarakan.

Apa yang dilihat luahan rakyat dalam Facebook rasmi kerajaan, ramai meluahkan pelbagai keluhan termasuklah keluhan yang melibatkan emosi dan perasaan serta masalah kesihatan yang mereka alami.

Rakyat bukan sahaja terhimpit dari segi ekonomi tetapi juga emosi. Yang dilihat menjadi mangsa nanti, rakyat marhaen juga.

Mohon sangat-sangat kepada mereka yang diberikan amanah memikul tanggungjawab, janganlah membuat apa-apa yang boleh mencetuskan kontroversi yang dilihat oleh marhaen ini sebagai tidak adil atau berat sebelah.

Waktu-waktu sebegini emosi marhaen ini semakin tertekan. Jangan ditambah emosi marah, sedih, tidak puas, kecewa, dan pilu ke dalam emosi mereka.

Jangan dianggap isu emosi ini tidak penting, kerana dibimbangi tekanan demi tekanan akan membuahkan isu kesihatan mental yang lain pula.

Itu belum lagi mereka yang sedia ada penyakit seperti ‘burnout’, stres melampau, kebimbangan melampau (anxiety) dan kemurungan (depression). Semoga mereka semua ini sentiasa baik-baik sahaja..

Kita berharap agar semua daripada kita dapat memainkan peranan sehabis baik. Cukup-cukuplah tunding-menuding sesama kita. Sama-sama kita ambil berat sesama kita. Yang diberikan amanah, buatlah sehabis baik.

Jika boleh, kita nak kurangkan isu-isu yang berkaitan kesihatan mental ini. Kita tidak mahu angka isu kesihatan mental di negara kita bertambah.

Kepada yang terkesan, hubungilah Talian Sokongan Psikologi atau lebih dikenali sebagai Talian MHPSS (Mental Health Psychosocial Support) yang diiklankan oleh Kementerian Kesihatan di aplikasi Mysejahtera anda. Insya-Allah anda akan dibantu sehabis baik.

Semoga negara kita diberikan kesembuhan dalam menghadapi Covid-19 ini. Sama-samalah berdoa. Buat masa ini, mungkin tip yang saya boleh kongsikan ialah kita cuba mengawal apa yang kita fikirkan. Kerana apa yang difikir, ia akan memberi kesan kepada tingkah laku kita.

Misalnya jika kita fikirkan sesuatu yang seronok, secara tidak sedar mimik muka kita pun akan tersenyum atas refleks yang kita fikirkan keseronokan tadi. Begitu juga sebaliknya. Jika negatif yang difikirkan, negatiflah hasilnya.

Justeru, cuba untuk fikirkan yang baik-baik seperti di bawah ini:

“Fikirkan yang baik-baik,

Sangkakan yang baik-baik,

Harapkan yang baik-baik,

Dan doakan yang baik-baik,

Insya-Allah semuanya baik.”

Semoga terus bersemangat ya, sahabat-sahabat semua.

Bacalah dengan hati terbuka, jangan disalahertikan. Ini isu kita bersama. Usah bimbang, masih ada yang sayang.

-THE MALAYSIA VOICE

** Afandy Sutrisno Tanjung merupakan Pegawai Psikologi (Kaunseling) dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES