JUST IN

Hospital di Lembah Klang terima lebih 1,000 pesakit baru Covid-19 setiap hari

by | Aug 5, 2021 | National, News | 0 comments

Bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital di Lembah Klang mengalami peningkatan mendadak sebanyak lebih 33 peratus selaras dengan peningkatan kes Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Ketua Pegarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding tempoh dua minggu lepas dengan purata lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap hari.

“Terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital, 2,685 berada dalam Pusat Rawatan Covid Risiko Rendah (PKRC) dan 659 berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dashboard CPRC Hospital System juga menunjukkan bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Noor Hisham menjelaskan bahawa beberapa langkah telah dilakukan di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley.

“Ini termasuklah mewujudkan katil tambahan termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta mewujudkan katil-katil tambahan di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang.

“Pada masa sama, PKRC MAEPS juga dipertingkatkan kapasitinya bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen,” ujarnya.

Tambahnya lagi, hospital yang telah berfungsi sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya ketika ini adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM.

“Kapasiti katil hospital tambahan yang telah dapat dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lepas adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius,” katanya.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES