JUST IN

MP pembangkang, kenapa perlu merisikokan diri dan orang ramai?

by | Aug 3, 2021 | Opinions | 0 comments

OLEH: JALALUDDIN ALIAS

Pagi semalam saya lihat di media sosial berlaku kekecohan di Dataran Merdeka kerana sekumpulan Ahli Parlimen (MP) daripada Pakatan Harapan dan juga pembangkang yang berkumpul hendak berjalan masuk ke Bangunan Parlimen.

Mereka membantah berkenaan penangguhan Sidang Mesyuarat Khas yang dijadualkan sepatutnya dibuat pada 2 Ogos 2021, semalam.

Surat penangguhan sidang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada 31 Julai 2021 susulan daripada nasihat Ketua Pengarah Kesihatan selepas berlakunya penularan Covid-19 di kawasan Parlimen.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa, sebagai seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, saya juga menyokong dan mendokong demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Saya juga mahu Parlimen bersidang, kerana banyak isu-isu berkaitan rakyat yang saya ingin utarakan dan perlu kita bahas untuk ditambah baik.

Namun begitu, kita harus akur dan faham dengan keadaan dan realiti semasa. Penyebaran Covid-19 di kawasan Parlimen perlu kita kawal dan cegah dengan sangat berhati-hati.

Tambahan pula kenyataan terbaharu daripada Ketua Pengarah Kesihatan yang mengatakan 4 sampel kes positif yang diambil di Parlimen berkemungkinan besar adalah Varian Delta. Varian yang sangat berbahaya, dan mempunya kadar kebolehjangkitan yang sangat tinggi.

Kita sendiri harus akui, sewaktu persidangan Parlimen, sangat sukar untuk kita mengawal pergerakan dan kemasukan individu di kawasan Parlimen.

Selain 220 Ahli Parlimen, akan ada juga kakitangan Parlimen, pegawai-pegawai bertugas, pegawai kementerian, pihak media, staf sokongan dan lain-lain lagi yang jumlahnya mencecah lebih 1,000 orang setiap hari berada di kawasan parlimen.

Jadi saya melihat penangguhan ini ada asasnya.

Saya melihat dan membaca komen-komen di media sosial dalam beberapa sesi ‘live’ yang dibuat di Dataran Merdeka pada pagi semalam.

Majoriti rakyat melahirkan rasa kecewa, dukacita dan marah dengan tindakan Ahli Parlimen ini yang berkumpul tanpa pematuhan SOP. Sedangkan mereka telah berkurung di rumah, tidak boleh ke mana-mana sudah sekian lama.

Tindakan berkumpul di Dataran Merdeka pagi semalam bukan sahaja merisikokan para Ahli Parlimen, tetapi juga pihak berkuasa, pengamal media dan penyokong yang turut sama hadir.

Tambahan pula, ada laporan berita yang mengatakan bahawa ada Ahli Parlimen yang sepatutnya menjalani kuarantin kerana pegawai beliau disahkan positif Covid-19, Varian Delta. Mengapa masih mahu terlibat dalam perhimpunan jika diri sendiri sudah terdedah kepada risiko terjangkiti dan menjangkiti?

Sebagai orang yang dipilih untuk menjadi penggubal dasar negara, Ahli Parlimen tidak kiralah pihak kerajaan atau pembangkang sepatutnya menjadi contoh yang lebih baik kepada rakyat.

Jika ada ketidakpuasan hati, gunakanlah segala medium yang ada seperti media sosial untuk memberikan pandangan dan kritikan. Janganlah merisikokan diri dan orang ramai dengan berkumpul secara beramai-ramai seperti itu.

-THE MALAYSIA VOICE

** Datuk Seri Jalaluddin Alias merupakan Ahli Parlimen Jelebu

(Kenyataan dipetik daripada entri terbaharu Facebook Jalaluddin Alias ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES