JUST IN

Reaksi berbeza rakyat terhadap bantahan pembangkang serbu Parlimen

by | Aug 2, 2021 | National, News | 0 comments

Sidang Dewan Rakyat yang ditangguhkan pada hari ini atas alasan penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen nampaknya telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin pembangkang sehinggakan mereka sanggup berhimpun dan berarak menuntut agar persidangan tetap diadakan seperti sepatutnya.

Terdahulu, cubaan wakil rakyat pembangkang untuk masuk ke Parlimen seawal jam 9:30 pagi difahamkan telah gagal yang seterusnya mendorong mereka masing-masing berkumpul dan berjalan beramai-ramai semula dari Dataran Merdeka menuju ke Parlimen sekitar 10:20 pagi sambil membawa sepanduk menuntut Perdana Menteri dan anggota Kabinet meletakkan jawatan.

Namun demikian, cubaan kali kedua tersebut juga tidak berjaya meskipun berlaku rundingan di antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan pihak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawal sekatan.

Mereka masing-masing kemudiannya akur dan bersurai menjelang pukul 11:00 pagi tadi.

Tindakan ahli Parlimen blok pembangkang ini mengundang reaksi berbeza kebanyakan rakyat di media sosial.

Rata-ratanya tidak bersetuju dan menganggap perarakan ke Parlimen hari ini hanyalah sia-sia kerana sidang tetap tidak akan berjalan tanpa kehadiran pemimpin blok kerajaan. Bagaimana mungkin sesuatu isu yang mahu ditimbulkan tapi tiada pihak lawan yang mahu mendengar dan tiada sebarang keputusan dapat dibuat?

“Ahli parlimen jangan buang masa berhimpun. Lebih baik balik kawasan masing-masing tinjau kesulitan yang dihadapi oleh pengundi semasa Covid ini,” kata Amran Othman.

Malah, majoriti di antara mereka juga mempersoalkan sikap acuh tidak acuh pemimpin pembangkang yang turun berhimpun beramai-ramai tanpa menjaga penjarakan fizikal.

“Jangan cakap rakyat tak ikut SOP. Tengok dan lihat ahli-ahli Parlimen ni. Mereka sendiri bagi contoh yang tidak sepatutnya, mereka sendiri tidak ikut SOP,” ujar Shah Rizan Yusof.

Selain itu, terdapat juga beberapa pandangan yang menyokong tindakan pemimpin pembangkang kerana beranggapan masalah dan isu rakyat tidak akan selesai selagi persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan.

“Saya rakyat Malaysia yang tinggal di United Kingdom. Parlimen di sini tidak pernah ditutup sepanjang pandemik. Mereka tetap bertemu dan berbincang setiap hari untuk menangani permasalahan berkaitan Covid. Malaysia tidak sepatutnya tutup Parlimen kerana ahli Parlimen diundi dan dibayar oleh rakyat untuk melakukan tugas-tugas mereka,” jelas Pat Lim.

Tidak kurang pula, ada rakyat yang mempertikaikan kredibiliti yang ditonjolkan baik daripada pihak kerajaan, mahupun pembangkang.

“Kalau kerajaan pun langgar SOP, mana tidaknya pembangkang pun ikut sama. Ada yang sampai dah dua kali kali buat kesalahan yang sama. Tak ada pun nak tegur. Mentang-mentanglah ada duit nak bayar kompaun. Seolah-olah buat 10 kali pun tak ada hal. Yang jadi mangsanya, KKM,” kata Sunshine Fauzi.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES