JUST IN

Helikopter langgar SOP ‘tapau’ Nasi Ganja Ipoh disiasat

by | Jul 25, 2021 | National, News | 0 comments

Helikopter langgar SOP ‘tapau’ Nasi Ganja Ipoh disiasat

FOTO: AWANI Perak

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan siasatan ke atas helikopter Bell 505 yang dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn Bhd yang mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo berkata, siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas pada jam 9:08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ke Ipoh dan kembali ke Subang pada jam 11:02 pagi seperti yang difailkan dalam pelan penerbangan.

“CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikoter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“CAAM juga akan membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya lagi, semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti tertakluk dalam ‘CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1 Protection of Persons and Property’ serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan. 

“Kami akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu sekitar jam 10 pagi, warga Ipoh dikejutkan dengan kelibat sebuah helikopter merah yang datang mendarat di Padang Ipoh secara tiba-tiba.

Setelah diselidiki, dua individu dari helikopter tersebut difahamkan telah mendarat di kawasan berkenaan semata-mata kerana singgah mengambil tempahan 36 bungkus nasi kandar yang turut popular dengan nama ‘nasi ganja’ dari negeri Perak itu.

-THE MALAYSIA VOICE

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES