JUST IN

Tokyo 2020: Temasya Sukan Olimpik versi pandemik buka tirai hari ini

by | Jul 23, 2021 | News, Sports | 0 comments

Upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 akhirnya berjaya dilangsungkan malam ini setelah seluruh dunia sabar menanti detik yang paling ditunggu-tunggu sejak penangguhannya pada tahun lalu.

Majlis pembukaan secara sederhana kali ini dilihat cukup hambar berikutan ketiadaan penonton daripada kalangan penyokong yang sepatutnya mengisi kapasiti 68,000 tempat duduk di Stadium Nasional Jepun.

Hanya percikan bunga api, mercun dan gema muzik yang mengiringi perbarisan para atlet dari 205 buah negara diselang-seli dengan tepukan daripada 1,000 orang kenamaan dan pegawai.

Maharaja Jepun, Naruhito telah diberi penghormatan merasmikan upacara pembukaan sukan terbesar dunia edisi kali ini.

Turut hadir termasuklah beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jill Biden.

Tokyo 2020 akan dikenang sebagai Sukan Olimpik paling janggal dalam sejarah kerana bukan sahaja disebabkan faktor larangan kemasukan penyokong dari negara lain, malah persiapannya yang turut dicemari skandal serta kontroversi.

Korea Utara menjadi satu-satunya negara yang menarik diri daripada temasya kali ini berikutan pendirian negara berkenaan yang enggan berkompromi terhadap sebarang risiko jangkitan Covid-19 melibatkan barisan atlet dan pegawai-pegawainya.

Kontijen Malaysia yang masuk pada giliran ke-176 menyaksikan gandingan pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia bersama-sama pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Ying berjalan masuk mengetuai barisan atlet dan pegawai selaku pembawa Jalur Gemilang.

Busana bertemakan Laksamana Hang Tuah dengan corak berwarna merah, putih, biru dan kuning yang dipakai wakil Malaysia adalah hasil karya Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Seramai 30 atlet Malaysia dalam 10 acara sukan iaitu badminton, terjun, pelayaran, berbasikal, olahraga, memanah, gimnastik, golf, renang dan memanah akan memikul tugas mengharumkan nama negara terutamanya misi memburu emas pertama Olimpik dalam sejarah penyertaan negara.

Tokyo 2020 akan berlangsung selama 16 hari bermula hari ini hingga 8 Ogos 2021 depan.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES