FOTO: Fahmi Reza
OLEH: FARHASH WAFA SALVADOR
Sejak 2016, polemik pelantikan doktor telah menjadi semakin parah. Pada asalnya ia bertujuan menjadikan pelantikan ke jawatan kerajaan dan latihan menjadi lebih cepat. Malangnya, apabila tiada tindakan lanjut, seolah-olah kerajaan telah melepas tangan.
Hakikatnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telahpun memulakan satu langkah bersepadu untuk mengatasi masalah ini pada tahun 2019. Satu jawatankuasa khas merentasi kementerian telahpun diwujudkan dan kertas kerja telahpun dibawa ke peringkat kabinet. Malangnya, berlakunya pengkhianatan laknat, yang menyebabkan perkara ini tertangguh lagi.
Kini keadaan semakin meruncing. Mereka yang sepatutnya diserap ke jawatan tetap masih tidak berlaku. Semakin ramai yang mengalami kemurungan. Halatuju mereka semakin tidak menentu. Sementelah itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan bahawa kontrak mereka dilanjutkan setahun lagi. Adakah ini bermakna mereka terus digantung tak bertali?
Dalam ketidaktentuan itu, mereka terus menghabiskan tenaga mereka membantu rakyat mengatasi Covid-19, walaupun nasib mereka sendiri belum terjamin. Elaun mereka tidak setara dengan penjawat tetap yang lain. Kebajikan mereka terabai. Ada di kalangan mereka terpaksa bekerja berterusan selama 72 jam. Ada yang sudahpun berhenti kerja kerana tekanan hidup.
Inilah yang berlaku sekarang. Keputusan perlu dibuat sekarang, kerana hidup mereka bergantung pada masa kini. Tidak ada gunanya jika ditangguhkan lagi.
Pada masa yang sama, sepatutnya penjawatanan petugas kesihatan ditambah, dan dikecilkan jumlah kabinet yang membazir. Jumlah doktor perubatan sehingga Jun 2020 adalah seramai 71,041 yang berkhidmat di sektor awam dan swasta dengan nisbah seorang doktor boleh memberi khidmat kepada 454 penduduk setakat ini. Nisbah ini adalah lebih baik berbanding nisbah satu kepada 500 namun, ia tidak memberikan gambaran sebenar sistem kesihatan negara.

Bukan kesemua doktor ini diambil kira sebagai doktor tetap dan jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun, nisbah doktor untuk memberi khidmat kepada rakyat adalah 1 kepada 422 orang manakala Singapura pula sebanyak 1 kepada 439 orang.
Peningkatan 4.3 peratus untuk perbelanjaan kesihatan sebanyak 31.9 Billion pada tahun 2021 masih belum memadai. Baru-baru ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak trending di Twitter sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak di seluruh Malaysia.
Perdana Menteri memaklumkan bahawa terdapat beberapa aspek yang perlu diperincikan sebelum rayuan 23 ribu orang pegawai kesihatan kontrak boleh diputuskan kerana kos tambahan adalah sekitar 2 Billion ringgit. Apa salahnya, sekiranya mereka boleh membantu negara menjadi lebih baik?
Kita lihat pula jumlah wang yang diperuntukkan untuk membayar gaji dan elaun Menteri dan Timbalan Menteri. Kos bulanan yang ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak 3.5 juta manakala setahun adalah sebanyak 42 juta. Setiap Menteri yang dilantik menyebabkan kita kehilangan keupayaan untuk menggajikan 10 orang doktor. Apatah lagi sekarang ini para Menteri tidaklah berfungsi dan hanya menghabiskan beras.
Justeru itu, adalah wajar kerajaan mengurangkan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, pada masa yang sama menambah perlantikan doktor berjawatan tetap di KKM. Kerajaan perlu mencari jalan agar golongan ini tidak dipinggirkan, dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti negara ke peringkat yang lebih tinggi.
-THE MALAYSIA VOICE
** Farhash Wafa Salvador merupakan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim
(Kenyataan dipetik daripada entri terbaharu Facebook Farhash Wafa Salvador ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)