JUST IN

Tiada kompromi petugas vaksinasi silap suntik picagari kosong

by | Jul 21, 2021 | National, News | 0 comments

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyiasat beberapa dakwaan mengenai suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di laman media sosial.

CITF berkata, terdapat tiga kes yang kini disiasat di mana salah satu daripadanya telah diambil tindakan bagi memastikan agar kejadian sebegitu tidak berlaku lagi.

“Kes pertama telah berlaku pada 17 Julai 2021 di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.

“Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah CITF, satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong pula difahamkan masih berada dalam siasatan pihak polis.

“Di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), kejadian didakwa telah berlaku pada 17 Julai 2021 dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.

“Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah

dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan

(HCO) terbabit,” katanya.

CITF menjelaskan, sebarang perkembangan mengenai siasatan berkenaan akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang terlibat.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini,” jelasnya.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES