Peningkatan kes harian Covid-19 yang semakin meledak sejak akhir-akhir ini nyata menggusarkan masyarakat yang kian tertekan.
Mana tidaknya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk ‘lockdown’ yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat seolah-olah tidak memberikan impak yang diharapkan, malah cukup mengecewakan.
Pada masa yang sama, peningkatan kluster tempat kerja membuktikan betapa pematuhan dari aspek prosedur operasi standard (SOP) juga gagal diaplikasikan dengan baik meskipun pelepasan untuk bekerja dan beroperasi telah diberikan terutamanya kepada golongan yang bekerja di kilang.
Justeru itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diselia oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikenal pasti sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menghentikan ‘kekalutan’ yang berlaku.
Kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu melakukan tinjauan penguatkuasaan Op Patuh semalam yang turut mendakwa ‘banyak kilang dibenarkan beroperasi tetapi gagal patuh SOP’ jelas menguatkan lagi sebab kenapa masyarakat mendesak mahukan kilang ditutup segera.
Namun, Azmin sebelum itu tetap bertegas mempertahankan pendiriannya dan mengatakan bahawa tidak adil menyalahkan sektor pembuatan sebagai punca kenaikan kes Covid-19.
Lantas, serangan demi serangan kritikan di media sosial milik Azmin segera dilancarkan warganet.
Reaksi balas yang tidak diendahkan daripada media sosial Azmin termasuk menutup ruangan komen kemudiannya lantas mengalihkan strategi berbeza warganet.
Kini, ada sebilangan daripada mereka mula memuatnaik video seolah-olah sedang melakukan ritual jampi dan bomoh kepada foto Azmin.
Ada yang menggunakan ubat nyamuk, spageti, lilitan kain umpama vudu serta mangkuk berisi air, cili dan telur.
Secara berseloroh, video-video yang telah ‘viral’ itu dibuat untuk melembutkan hati Azmin dan mengubah pendiriannya untuk menutup kilang selepas ini.
-THE MALAYSIA VOICE