JUST IN

Kisah #JusticeForBella masih tergantung bukti kelemahan sistem kita

by | Jul 14, 2021 | Opinions | 0 comments

OLEH: SALWA MOHD SALEH

Tentang #JusticeForBella

Sudah beberapa hari cerita ini berlegar-legar di WhatsApp dan ‘newsfeed’ saya. Sekali imbas, saya tahu apa yang berlaku. Penderaan ke atas seorang remaja OKU yang mempunyai Sindrom Down.

Namun secara ‘detail’nya, saya tidak membaca apa-apa berita kerana sudah beberapa tahun, saya tidak mampu melihat sebarang visual (gambar atau video) tentang penderaan terutamanya yang melibatkan bayi, kanak-kanak dan anak istimewa.

Ketika saya dalam keadaan sebelum ini, yang mana saya kuat untuk ‘menapis’ apa yang ada di fikiran, saya tetap tak mampu bertahan. Jika terlihat, visual tersebut akan menghantui fikiran saya berhari-hari lamanya.

Namun dengan rasional dan kekuatan jiwa yang ada, kebiasaannya perkara itu akan perlahan-lahan pudar namun tidak akan dapat saya lupakan.

Petang ini saya menggagahkan diri membaca kronologi kes Bella di beberapa ‘wall’ mereka yang terlibat. Tetap saya tidak sanggup menonton apa-apa gambar atau video kerana khuatir dalam keadaan saya yang masih dalam rawatan, akan sangat terganggu.

Bella hanyalah salah satu kisah yang timbul, sedangkan begitu banyak lagi mungkin sekasut dengannya baik dalam jagaan keluarga sendiri, waris, saudara-mara mahupun organisasi kebajikan.

Adakah kita lupa kisah Allahyarham adik Firdaus yang ditemui dalam keadaan amat amat menyayat hati? Apa kesudahan agaknya ibunya sendiri yang tidak berhati perut tersebut? Darah daging sendiri.

Malah kalau kita lihat, ada yang diikat, ditambat malah dipasung supaya tidak keluar dari ruangan kecil, kerana anak istimewa ini bagi mereka adalah beban yang teramat menyusahkan.

Bukan semua boleh menjaga anak syurga.

Saya tahu rasanya kerana saya sendiri ada tiga anak istimewa. Percayalah kata-kata saya ini, sesiapa sahaja boleh belajar tentang ilmu anak istimewa hingga malah jadi pakar sekali pun, tetapi jika belum pernah menjaga anak istimewa dan duduk satu bumbung dengan mereka 24 jam sehari, 7 hari seminggu, maka belum cukuplah anda kenal tentang anak istimewa.

Secara teori, mungkin. Namun asam garam dan pahit manisnya, tidak pernah anda rasa.

Kerana itu bukan calang-calang kesabaran yang perlu ada. Kerana itu juga jika memberi nasihat, jangan berteori semata-mata. Ambil peduli dan cakna tentang keluarga tersebut keseluruhannya. Jangan hanya mengarah itu dan ini, dan malah tarik muka jika nasihat tidak dituruti.

Bella adalah cerminan ‘loophole’ besar dalam sistem sedia ada. Banyak persoalan berlegar-legar. Tentang hak penjagaan, tentang penglibatan politik, tentang kuasa orang dalam. Ibarat jika ada kuasa, boleh berbuat apa sahaja.

FOTO: Tentera Troll Kebangsaan Malaysia

Teringat saya sebuah filem garapan dari kisah benar yang berlaku di Korea. Filem tersebut ‘The Silence’ mengisahkan tentang perjuangan seorang guru baharu yang ditugaskan ke sekolah anak-anak bisu.

Beliau secara perlahan-lahan membongkar satu persatu kisah penderaan yang amat teruk dilakukan guru-guru lain malah guru besar di sekolah berkenaan termasuklah penderaan emosi, fizikal dan malah seksual.

Guru besar merogol murid perempuan.  Malah ada salah satu adegan yang saya tak dapat lupakan di mana terdapat seorang guru yang (maaf) amat sial, meliwat anak kecil adik-beradik lelaki tanpa sebarang belas kasihan malah dipukul sehingga berdarah. ‘Scene’ tersebut membuatkan saya trauma agak lama dan menjadi amat-amat marah.

Dipendekkan cerita, akhirnya dengan pembongkaran dan kemarahan rakyat Korea, guru besar tersebut ditangkap dan sekolah terbabit ditutup.

Persoalannya di sini, adakah kita juga entah entah, memiliki berapa banyak sekolah-sekolah dan pusat penjagaan seperti ini?

Tentu saya tidak dapat tidur malam lagi.

Dan adakah masyarakat sebenarnya cakna dengan anak-anak istimewa dan hak mereka?

Adakah anda ambil peduli?

Adakah anda juga ada belas dan ihsan terhadap mereka?

Dan awaslah kalian yang mendapat amanah, tetapi khianat.

Saya doakan kalian taubat, atau tunggulah neraka jahanam paling terbawah lubuk terdalam sebagai azab untuk orang yang tak ada belas!

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES