JUST IN

Kita pernah menang

by | Jul 13, 2021 | Opinions | 0 comments

OLEH: NURSYAFIQAH ROSLAN

…dan hakikatnya — kita pernah menang.

Menang melawan wabak ini, menang dalam menuruti perintah atasan. Menang untuk tidak keluar rumah, menang untuk mengorbankan wang dan kerja demi negara. Tapi perjuangan kita dan kemenangan itu menjadi sia-sia dek kerakusan insan yang memegang hak kepimpinan negara.

Mereka sibuk mengejar pangkat, sedang rakyat sudah tenat. Mereka sibuk mengumpul harta, sedang rakyat sudah kedana.

Akhirnya, rakyat mula penat, tenat. Segala perintah terpaksa dilanggar demi semangkuk nasi untuk anak isteri. Rakyat terdesak! Kes semakin menggila angkanya, dan tidak ada penyelesaian yang betul-betul boleh dinoktahkan.

Ibarat duduk di rumah menunggu sinar yang entah bila akan terpancar. Sedang orang tersayang satu-persatu pulang ke lapang abadi, tanpa mampu ditatap wajahnya terakhir kali.

Sakit, perit. Tapi atasan mana peduli. Kita tidak duduk dalam badan yang sama. Walau dalam lautan sama, tapi kapal kita berbeza. Sudah ramai yang tenggelam, ramai juga yang masih di atas perahu menanti ajal. Tak kurang yang masih mendayung demi meneruskan kehidupan. Sedang mereka berdudukan senang di atas kapal mewah beralas kayangan. Siapa yang harus dipersalahkan?

Adakah rakyat yang terlalu penat sehingga terpaksa melanggar perintah negara? Atau si atasan yang terlalu selesa di kerusi empuk sehingga lupa pada tanggungjawabnya?

Hakikatnya, kita semua sedang tenat. Sistem pendidikan terganggu, anak-anak stres dan mula menunjukkan protes. Sedang merekalah pelapis yang akan mengemudi negara ini suatu masa nanti. Tenat. Kesannya bukan sahaja akan dirasakan pada masa kini, tapi akan berpanjangan sehingga ke masa hadapan.

Semua orang sedang stres. Ibu bapa, guru, anak-anak, pekerja. Barisan hadapan apatah lagi, hampir lumpuh! Apa yang dilalui kita pada waktu pandemik ini memang jauh berbeza dan sangat menyakitkan. Sudah ramai yang pergi, ramai juga yang memilih menyudahi nyawa sendiri.

Masih butakah orang-orang atasan di atas sana? Masih tidurkah kalian? Bukalah mata, bukalah telinga. Hayati keperitan rakyat. Nasib negara ini, kita tidak tahu. Tapi belum terlambat untuk kita menyelamatkannya.

9K — satu angka yang cukup besar. Tapi rakyat sudah lali. Jika dulu 100 kes sahaja sudah cukup menggetarkan lutut, tapi sekarang siapa kisah, semua fokus untuk meneruskan hidup. Berkorban macam-macam demi keluarga.

Dan hakikatnya, pengorbanan itu masih buta untuk ditatap oleh mereka yang perutnya sudah selesa diisi dengan kekayaan duniawi.

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES