JUST IN

Juara EURO 2020, ‘It’s Coming Rome’ untuk Itali

by | Jul 12, 2021 | Sports | 0 comments

Slogan popular ‘It’s Coming Home’ yang dilaung-laungkan oleh penyokong England bagi membawa pulang trofi kejuaraan utama EURO 2020 nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Tetapi, perang psikologi yang dijawab semula oleh penyokong Itali iaitu ‘It’s Coming to Rome’ pula sebaliknya menjadi realiti.

Dalam aksi final yang berlangsung pagi tadi, Itali yang berada di ranking ke-7 dunia telah berjaya menewaskan England yang berada di ranking lebih atas iaitu ke-4 dunia menerusi penentuan sepakan penalti.

Mengikut sejarah, lagu Three Lions (Football’s Coming Home) yang dicipta oleh England pada pertengahan 90-an bukanlah sekadar lagu biasa.

Ia juga ibarat mantera keramat penyokong England sebagai propaganda mereka bahawa bola sepak yang wujud pada hari ini sebenarnya diasaskan dari England.

Pemain pertahanan kiri England, Luke Shaw yang digelar ‘Shawberto’ gara-gara aksi cemerlangnya sepanjang EURO edisi kali ini yang dikatakan mirip kehebatan legenda bek kiri dunia dari Brazil – Roberto Carlos, terlebih dahulu meletakkan England di depan pada minit ke-2 perlawanan.

Ia sekaligus merupakan rekod gol paling pantas sepanjang zaman yang berjaya dilakar oleh seseorang pemain dalam sejarah perlawanan akhir EURO sejak penganjurannya pada 61 tahun yang lepas.

Itali kemudiannya tidak henti-henti melancarkan serangan demi memburu gol penyamaan. Namun kesemua usaha mereka untuk cuba bangkit telah dihalang dengan baik oleh taktikal negatif bertahan ‘parkir bas’ anak buah Gareth Southgate yang dilihat seolah-olah mahu mempertahankan kedudukan 1-0 hingga ke wisel penamat.

Walau bagaimanapun, gol penyamaan yang dinanti-nanti Itali akhirnya muncul pada minit ke-67 hasil jaringan pemain pertahanan, Leonardo Bonucci yang merembat masuk gol setelah berlaku kekalutan di kawasan penalti England akibat sepakan sudut dan cubaan tandukan Marco Verratti yang terlebih dahulu melantun terkena tiang gol.

Keputusan terikat seri 1-1 seterusnya mengheret kedua-dua pasukan untuk beraksi pada babak tambahan sehingga minit ke-120 yang merupakan perlawanan babak tambahan ke-8 dan juga penentuan penalti ke-4 di saingan peringkat kalah mati EURO 2020.

Peluang tersebut nyata dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pemain Itali yang mempunyai pengalaman rekod penalti lebih baik berbanding England.

Itali menang 3-2 hasil penalti Domenico Berardi, Bonucci dan Federico Bernardeschi.

England pula tewas gara-gara rembatan Marcus Rashford terkena tiang dan gagal mengikut rentak penalti Harry Kane dan Harry Maguire, selain kecekapan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma yang cemerlang menafikan percubaan Jadon Sancho dan Bukayo Saka di babak akhir perlawanan.

Dengan kejayaan ini, ia sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah skuad Azzurri dalam semua 34 perlawanan antarabangsa sejak dibimbing jurulatih Roberto Mancini dan menambah koleksi trofi EURO ke-2 serta piala utama yang ke-11 berjaya diraih mereka.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES