JUST IN

Copa America 2021: Argentina juara, Messi julang trofi antarabangsa pertama

by | Jul 11, 2021 | Sports | 0 comments

Kejohanan bola sepak Copa America 2021 akhirnya telah melabuhkan tirai pagi tadi dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada Argentina yang menafikan tentangan hebat pasukan dari ranking ke-3 dunia, Brazil.

Meskipun Brazil bermain di hadapan penyokong sendiri dan gelanggang keramat Stadium Maracana, ia nyata sedikit pun tidak menggentarkan Argentina yang berada di ranking ke-8 dunia untuk memberi tentangan hebat dan mengimbangi perlawanan.

Kemenangan Argentina ke atas pasukan tuan rumah juga sekaligus telah mencalar rekod gah tanpa kalah Brazil yang bertahan lebih 2,500 hari di laman sendiri sebelum ini.

Pada perlawanan final pagi tadi, pemain sayap yang beraksi dengan kelab Perancis Paris Saint Germain, Angel di Maria terlebih dahulu meletakkan Argentina di hadapan pada minit ke-22 melalui jaringan gol secara ‘chip’ cantik yang memperdayakan penjaga gol, Ederson Moraes.

Tersentak dengan gol pihak lawan, jentera serangan Brazil yang diketuai Neymar mula mengatur gerak dan menggandakan asakan serangan untuk memburu sekurang-kurangnya gol penyamaan.

Namun, kesemua percubaan mereka buntu dan berjaya digagalkan oleh barisan pertahanan ampuh Argentina; Nicolas Otamendi, Cristian Romero, Gonzalo Montiel, Marcos Acuna dan penjaga gol berbakat Aston Villa, Emiliano Martinez.

Kejayaan yang dilakar Argentina ini juga telah berjaya menutup mulut pengkritik yang mendakwa kononnya skuad La Albiceleste selama ini terlalu bergantung kepada Lionel Messi sahaja.

Secara tidak langsung, ia juga menamatkan kemarau dan kekesalan yang pernah dirasai bekas pemain terbaik dunia dari Barcelona itu yang telah beraksi memburu kejuaraan antarabangsa sulung di edisi final kejohanan sama pada 2007, 2015, 2016 dan Piala Dunia 2014.

Seandainya Messi tidak menarik balik persaraan yang diumumkannya pada 2016, tidak mungkin dia dapat meraikan detik bersejarah baharu di dalam kariernya yang turut paling dinanti-nantikan oleh peminat Argentina di seluruh dunia pada hari ini.

Pencapaian yang diraih Argentina dengan muncul sebagai juara Copa America 2021 ini juga sekaligus telah mengakhiri penantian 28 tahun pasukan White and Sky Blues dalam merangkul trofi kejohanan utama selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1993.

Pada aksi final Copa America di Ecuador dahulu, penyerang utama, Gabriel Batistuta berjaya menyumbat dua gol untuk Argentina menafikan cabaran Mexico yang berkesudahan 2-1.

Messi pula masih di zaman kanak-kanak berusia 6 tahun ketika itu.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES