JUST IN

EURO 2020: Itali, England tepati ramalan ke final

by | Jul 8, 2021 | Sports | 0 comments

Kejohanan bola sepak Eropah EURO 2020 semakin hampir sampai ke penghujungnya dengan tiket pentas akhir kini sah menjadi milik Itali dan England.

Kemaraan kedua-dua pasukan ini tidaklah begitu mengejutkan berikutan jangkaan awal para pemerhati bola sepak yang telah menilai kemampuan skuad Azzurri dan Three Lions ini berdasarkan prestasi semasa masing-masing.

Itali mempunyai rekod yang cukup cemerlang sejak diambil alih oleh Roberto Mancini dengan kemenangan ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir semalam, terus melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua 33 perlawanan antarabangsa.

Manakala England pula menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan sepanjang edisi EURO kali ini apabila mempamerkan kualiti pertahanan yang kental dengan hanya dibolosi 1 gol sahaja dalam kesemua enam perlawanan termasuk ketika menyingkirkan Denmark pada satu lagi aksi separuh akhir, pagi tadi.

Walau bagaimanapun, kredit dan pujian tetap layak diberikan kepada lawan mereka iaitu Sepanyol dan Denmark kerana telah bermain dengan begitu memukau dan membuktikan kedua-duanya bukanlah calang-calang pasukan sehinggalah penalti menjadi talian hayat akhir yang memihak kepada Itali dan England.

Peluang kedua-dua pasukan di pentas akhir nampak seimbang dan 50-50 dengan pasukan yang paling berjaya meminimakan kelemahan pasti kelak akan dinobatkan selaku juara baharu Eropah.

Namun, bermain di halaman sendiri di hadapan penyokong sendiri pastinya sedikit sebanyak memberi suntikan moral tambahan buat anak didik Gareth Southgate, lebih-lebih lagi ketika kapasiti Stadium Wembley dinaikkan untuk kehadiran 60,000 penonton.

Berikut adalah antara fakta-fakta menarik berkaitan pertemuan Itali vs England:

  • Rekod 27 pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Itali telah menang sebanyak 11 kali, England 8 kali dan seri sebanyak 8 kali
  • Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada Mac 2018 di dalam aksi perlawanan persahabatan yang berkesudahan seri 1-1. Jamie Vardy terlebih dahulu meletakkan England di hadapan sebelum Lorenzo Insigne berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87
  • Kali terakhir England bertemu Itali di dalam kejohanan bola sepak utama ialah pada Piala Dunia 2014 di Brazil peringkat Kumpulan D. England tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut
  • Itali berjaya mara ke peringkat final EURO untuk kali keempat. Namun, hanya sekali sahaja muncul juara iaitu pada tahun 1968
  • Andai menang kejohanan EURO kali ini, ia bakal menjadi piala utama yang ke-10 dimenangi Itali
  • Sepanjang 55 tahun penganjuran EURO, ini merupakan kali pertama England berjaya mara ke perlawanan final
  • Andai menang kejohanan EURO kali ini, ia bakal menjadi piala utama yang ke-2 dimenangi England selepas kali terakhir melakukannya ketika berjaya menjulang Piala Dunia 1966

REKOD PERTEMUAN TERDAHULU:

MAC 2018

England 1-1 Itali

APRIL 2015

Itali 1-1 England

JUN 2014

England 1-2 Itali

OGOS 2012

England 2-1 Itali

JUN 2012

England 0-0 Itali

(**Itali menang penalti 4-2)

MAC 2002

England 1-2 Itali

Jangan lupa saksikan perlawanan akhir EURO 2020 pada hari Ahad pagi Isnin, 12 Julai 2021 nanti jam 3 pagi yang akan disiarkan secara langsung di stesen televisyen Astro dan RTM.

Siapa juara pilihan anda?

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES