JUST IN

‘Pak Long Mail’ kini Timbalan Perdana Menteri

by | Jul 7, 2021 | NATIONAL, NEWS | 0 comments

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan bersetuju untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah jawatan tersebut tidak dipertanggungjawabkan kepada mana-mana individu sejak 16 bulan yang lalu ketika Kabinet Perikatan Nasional dibentuk.

Ismail Sabri yang turut mesra disapa sebagai ‘Pak Long Mail’ oleh warganet ketika mula-mula mengendalikan situasi pandemik Covid-19 negara pada tahun lalu bagaimanapun difahamkan masih kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Sementara itu, perlantikan jawatan Menteri Kanan Luar Negeri kini pula disandang oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini dipimpin oleh Ismail Sabri.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.

“Pelantikan (Ismail Sabri) ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

“Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Datuk Seri Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PMO turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepada kedua-dua Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu sambil berharap peranan mereka dalam mentadbir pucuk pimpinan tertinggi negara akan menjadikan kerajaan yang lebih positif dan bertambah baik.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan partiparti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” ujarnya.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES