JUST IN

Tiada maknanya Sidang Parlimen andai tidak bersemuka

by | Jul 6, 2021 | Opinions | 0 comments

Salah satu mesyuarat secara hibrid yang pernah dikendalikan Perdana Menteri

– FOTO: Muhyiddin Yassin

OLEH: NOH OMAR

Saya dapat maklumat kemungkinan sidang parlimen akan dibuat secara hibrid. Saya sebagai Ahli Parlimen secara peribadi tidak bersetuju dengan pendekatan ini atas beberapa faktor.

PERTAMA, sidang parlimen adalah satu sesi perbahasan dalam sesuatu isu dan ada ketikanya Ahli Parlimen yang lain boleh bangun dan meminta penjelasan atas apa yang dibahaskan oleh Ahli Parlimen lain atau semasa Menteri sedang menjawab.

Adakah bersidang secara hibrid ini membolehkan Ahli Parlimen mencelah untuk dapatkan penjelasan?

KEDUA, setiap Ahli Parlimen mempunyai imuniti ketika berbahas di Dewan Rakyat. Bermaksud, apa yang disebut ketika perbahasan tidak boleh didakwa di luar parlimen.

Adakah imuniti ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen apabila mereka berbahas di luar Dewan Rakyat secara ‘online’?

KETIGA, adakah kerajaan tidak yakin dengan keberkesanan dos vaksin?

Kalau kerajaan kurang yakin dengan vaksin sedia ada, kenapa tidak Ahli Parlimen diberikan dos ketiga dan setiap Ahli Parlimen diwajibkan menjalani ujian PCR setiap minggu di sebalik setiap dua minggu seperti pada sidang yang lepas.

KEEMPAT, mengapa tidak gunakan kemudahan dan fasiliti yang ada di parlimen?

Ketika ini wujud lima bangunan di dalam kawasan parlimen yang boleh  diguna pakai.

Pertama adalah bangunan utama, kedua bangunan menara, ketiga bangunan baru di belakang bangunan utama di mana setiap MP mempunyai bilik sendiri, keempat bangunan Dewan Rakyat sementara dan kelima bangunan sementara di sebelah bangunan utama.

Semua fasiliti ini boleh digunakan untuk menempatkan kakitangan atau pegawai bertugas untuk mengelakkan terlalu ramai masuk ke bangunan utama ketika dewan bersidang. Hanya Ahli Parlimen saja yang sepatutnya dibenarkan memasuki bangunan utama.

KELIMA, untuk mengelakkan terlalu ramai pemandu berada di kawasan parlimen, kerajaan boleh membenarkan hanya konsep ‘drop off’ sahaja. MP dihantar dan diambil ketika dewan selesai bersidang dan semua kenderaan tidak dibenarkan parkir dalam kawasan parlimen.

Kesimpulannya, saya lihat Sidang Parlimen ini perlu ada keberkesanan dan bukannya sekadar mendengar apa yang dihujahkan tanpa ada sebarang celahan. Sidang Parlimen bukan seperti khutbah Jumaat, mendengar apa yang khatib bacakan.

Apa gunakan kerajaan berbelanja berjuta-juta kalau segala fasiliti yang tersedia tidak digunakan sebaiknya? Kalau tidak boleh bersidang secara bersemuka, saya fikir ini adalah satu alasan yang tidak munasabah.

-THE MALAYSIA VOICE

** Tan Sri Noh Omar merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang

(Kenyataan dipetik daripada entri terbaharu Facebook Noh Omar ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES